Walaupun kerajaan baharu yang memerintah tetapi muka-muka pemimpinnya merupakan ‘pemain-pemain’ lama politik tanah air yang dikitar semula.

Begitu pelik situasi kerajaan hari ini kerana mereka pernah bercakaran, tuduh menuduh, bermusuhan, caci mencaci dan ada yang menghukum dan dihukum sesama sendiri.

Bagaimanapun secara tiba-tiba mereka bersatu lalu memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) dengan menggula-gulakan rakyat melalui ‘seribu’ janji.

Hari ini rakyat melihat pak-pak menteri yang ada sedang tersenyum lebar, berbangga dengan jawatan yang disandang masing-masing.

Mungkin kerana tidak menduga mendapat tuah sedemikian, ibarat bulan jatuh ke riba.

Ada juga yang begitu ‘seronok’ dengan idea syok sendiri yang tidak setara mana pun kehebatannya, tidak seperti yang diuar-uarkan sewaktu berkempen sebelum pilihan raya.

Apabila rakyat mula merungut dan mempersoalkan kenapa masih tiada sebarang perubahan dalam pelbagai aspek, mereka berdalih dengan pelbagai alasan.

Dan paling pelik mereka hanya pandai mengadu serta menyalahkan kerajaan terdahulu sebagai segala punca janj-janji yang ditabur pada pilihan raya tidak dapat dipenuhi.

Saya ingin memberi contoh kes Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sebelum jadi pemimpin mereka lantang memperjuang hak rakyat kononnya kenapa rakyat perlu dibebani hutang pendidikan dan jika menang, segala hutang PTPTN akan dilupuskan.

Pun begitu, apabila sudah menang hutang PTPTN tidak juga dihapuskan, bila rakyat persoalkan kenapa, mereka hanya menyalahkan kerajaan terdahulu.

Mereka menuduh kerajaan lama terlalu boros sehingga menyebabkan kewangan negara tidak kukuh.

Ini sekali gus dijadikan alasan membantutkan usaha melupus hutang tabung pendidikan tersebut.

Begitu juga kalau dipersoalkan mengapakah harga barang tidak turun walau pun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditukar kepada cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), masih tiada jawapan yang konkrit diterima rakyat.

Jadi, adakah begini cara pemimpin yang ada sekarang membantu rakyat? Rakyat mulai bosan dan meragui keikhlasan mereka dalam berkhidmat seperti yang dicanang-canangkan ini.

Rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang kian menghimpit dari segenap sudut kehidupan seharian tetapi kepemimpinan kerajaan hari ini sibuk mengukuhkan kedudukan masing-masing, dan bukannya menggalas amanah yang diberikan.

ZULKIFLI Z. ABIDIN
Rakyat marhain.