Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik cadangan tersebut kerana langkah itu dapat meningkatkan keupayaan dan kualiti pengajaran guru melalui alat-alat peranti selain pelajar juga dapat mengakses pengetahuan dari sumber maya sekali gus meningkatkan kefahaman mereka terhadap subjek yang dipelajari.

Langkah itu selari dengan hasrat kementerian untuk melahirkan generasi pelajar yang celik teknologi di samping mengaplikasikan pembelajaran abad ke-21.

Begitupun iGuru berpendapat, kebenaran penggunaan alat peranti dalam kalangan pelajar perlu mengambil kira beberapa perkara agar tidak disalahgunakan sehingga membawa kepada beberapa permasalahan lain.

Antara aspek yang perlu diambil kira ialah tempoh masa penggunaan alat peranti, penempatan zon pembelajaran, kawasan zon Wifi dan penyimpanan alat peranti di tempat yang dikhaskan, lebih-lebih lagi melibatkan sekolah pelajar yang ada asrama.

iGuru bimbang para pelajar tidak mengoptimumkan tumpuan kepada proses pembelajaran dan menggunakan alat peranti untuk tujuan keseronokan.

Apa pun hasrat murni kementerian berkenaan untuk melonjakkan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 perlu disokong dengan memastikan aspek pembinaan nilai dan pembentukan jati diri pelajar tidak diabaikan.

MOHD. AZIZEE HASAN

Presiden iGuru