BARU-BARU ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof meminta semua pihak supaya tidak membuat andaian melulu dan melampau membabitkan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau membuat nasihat itu semasa menghadiri satu program di Kepala Batas, Pulau Pinang. Menurutnya, perkara tersebut jika tidak diberi perhatian dikhuatiri boleh mewujudkan ketegangan antara kaum dan penganut agama di negara ini.

Mujahid menolak dakwaan ICERD akan menyebabkan hak orang Melayu terhapus serta kedudukan raja dan agama Islam akan tergugat sekiranya ditandatangani oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

ICERD ditegaskan tiada kuasa mengubah sesebuah negara terutama membabitkan aspek Perlembagaan, kebudayaan serta apa jua perkara berkaitan.

Sehingga kini, begitu ramai terlalu ghairah menimbulkan isu sehingga memberikan fakta tidak tepat, dan tindakan sedemikian perlu dihentikan.

Walaupun ramai tidak mendapat maklumat tepat tentang isu tertentu tetapi mereka tetap percaya apa sahaja disebarkan.

Perkara ini berlaku sejak dahulu lagi. Rakyat negara ini amat takut dengan berita berkaitan ‘hantu’ walaupun diri sendiri tidak pernah melihatnya dari dekat.

Apabila ada menghasut supaya takut kepada ‘hantu’ itu, mereka mengikutinya tanpa perlu mendengar sebarang nasihat dan teguran, termasuk daripada seorang menteri Kabinet.

Percayalah, penduduk di negara ini akan tetap percaya apa sahaja yang disampaikan terutama bahan dari ahli atau parti politik pujaan, sama ada baik atau buruk.

ABD. RAZAK OSMAN

Sungai Petani, Kedah