Apa yang berlaku telah pun ditentukan-Nya. Selain bersimpati, rakyat hanya mampu mendoakan agar mereka terkorban dibangkitkan bersama para huffaz di akhirat kelak.

Buat keluarga dan waris mangsa, sebaik-baiknya redakanlah pemergian mereka kerana itulah yang sebaik-baiknya dalam Islam.

Hakikatnya, tragedi ini telah membuka mata banyak pihak khususnya kerajaan untuk membantu melakukan penambahbaikan terutama berkaitan prosedur keselamatan madrasah dan pusat tahfiz di seluruh negara bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Begitupun, pihak madrasah sendiri wajib berusaha menyediakan prasarana terbaik mengikut piawaian ditetapkan.

Berkaitan kejadian, saya ingin menyentuh sedikit mengenai keperluan menghantar anak-anak ke madrasah pada usia terlalu muda. Pada hemat saya, anak-anak ini harus diasuh dan diajar secara harian terlebih dahulu, dan bukannya menginap di asrama, melainkan jika sudah meningkat dewasa dan berfikiran matang.

Tidak dinafikan, kesibukan tugas serta jadual pembelajaran madrasah tahfiz yang panjang sehingga selepas Isyak telah mendorong segelintir ibu bapa untuk menempatkan anak-anak di asrama. Selain itu, ibu bapa menaruh harapan tinggi kehidupan asrama madrasah mampu membentuk disiplin pelajar mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Perlu ingat, masalah buli (murid junior dibuli pelajar senior) juga tidak terkecuali berlaku di sekolah dan madrasah tahfiz, cuma peratusannya amat kecil. Bagi mengelak gejala buli menular di madrasah tahfiz, kajian perlu dibuat bagi menyemak semula had usia untuk menempatkan anak-anak ke asrama tersebut.

Saranan bukan bermaksud mengehadkan ibu bapa menghantar anak-anak belajar agama pada usia terlalu muda, cuma perlu ditekankan beberapa perkara terutama dalam menyelaraskan kembali waktu pembelajaran mengikut kesesuaian usia.

Sekiranya waktu pembelajaran panjang dijadikan alasan, saya tidak fikir pihak madrasah terutamanya para ustaz dan tenaga pengajar mempunyai masalah untuk menyediakan modul pembelajaran pada sebelah siang sahaja buat anak-anak yang berusia muda, manakala pelajar berusia belasan tahun meneruskan pengajian mereka seperti biasa.

Sebenarnya di rumahlah tempat sepatutnya anak-anak usia muda diajar dan diamalkan sunnah oleh ibu bapa, dan bukannya pihak madrasah mengambil tanggungjawab itu. Apabila anak-anak ini meningkat usia belasan tahun baharulah dihantar ke asrama madrasah ­memandangkan fikiran mereka juga sudah matang dan tahu membezakan perkara baik atau buruk.

Pada usia yang terlalu muda (tujuh hingga sembilan tahun), anak-anak bukan sahaja masih memerlukan kasih sayang dan perhatian ibu bapa, bahkan dari segi keupayaan, mereka juga masih tidak mampu mengurus keperluan diri seperti membasuh baju dan sebagainya.

Tidakkah ibu bapa membayangkan ketakutan mereka ditinggalkan di tempat baharu serta kegusaran anak-anak kecil ini untuk menghadapi apa yang berlaku selanjutnya? Saya yakin, jauh di sudut hati ibu bapa akan merindui anak-anak itu apatah lagi memikirkan mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Ibu bapa harus bijak membuat keputusan terbaik untuk kehidupan anak-anak, baik di dunia mahupun di akhirat. Paling penting, tanggungjawab hakiki mendidik anak-anak perlu dipikul sebaik-baiknya dan tidak menyerahkan bulat-bulat kepada pihak lain.

Pupuk dan semailah amalan sunnah di rumah kerana itulah ‘madrasah permulaan’ yang terbaik buat anak-anak usia muda sebelum mereka dihantar ke asrama madrasah tahfiz pada usia yang sesuai untuk menerima pendidikan sempurna sebagai pelajar hafiz dan sebagainya.

ISMAWI ISHAK

Sungai Buloh