Beberapa perkara jelik telah berlaku dalam negara yang benar-benar menyimpang daripada pengertian sebenar mengenai Rule of Law. Saya bukanlah seorang pengamal undang-undang dan bukan juga mempunyai pendidikan yang diharapkan Perdana Menteri tetapi kerap mengambil tahu perkara yang berlaku dalam negara.

Kenyataan dibuat berke­naan hukuman yang dijatuhkan kepada dua wanita di Terengganu oleh Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan juga menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa tempoh hari mengundang persoalan tentang Rule Of Law yang hendak ditegakkan oleh kerajaan baharu selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebaliknya apa yang dibuat oleh Peguam Negara tentang kes Lim Guan Eng dianggap sudah menjadi keputusan yang tidak boleh disangkal kerana kuasa yang dimiliki Peguam Negara adalah ‘mutlak’.

Adakah kerajaan PH dan Perdana Menteri beranggapan sebilangan besar rakyat Malaysia sememangnya tidak berpendidikan? Adakah perlunya rakyat bangkit berarak di jalanan untuk menegakkan keadilan?

Mengulas pendapat Naib Pengerusi Wanita MCA bahawa kes Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo pada tahun 2007 adalah sama apa yang berlaku dengan kes Guan Eng.

Jadi, kesalahan Mohamad Khir seolah-olah atas keputusan politik?

Begitu juga Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim yang juga berpendapat mungkin perbicaraan rakyat atau mahkamah rakyat akan diteruskan jika perlu kera­na kejatuhan Barisan Nasional (BN) didakwa atas keputusan ‘mahkamah rakyat’.

Sehinggakan Jho Low sendiri tidak akan mendapat keadilan jika dibicarakan di Malaysia. Maka, tidak pelik Datuk Seri Jamal Md. Yunos ingin mencuba nasib menghantar surat kepada Peguam Negara bagi memohon semua kes pertuduhan yang dihadapinya dikaji semula seterusnya ditarik balik seperti ‘dinikmati’ Guan Eng.

Berbalik kepada keputusan Kabinet tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Syariah Terengganu juga tidak boleh diterima pada mata rakyat. Tentunya apa juga keputusannya berdasarkan kefahaman mentaksir undang-undang yang ada.

Keputusan Mahkamah Syariah Terengganu berdasarkan Undang-undang Agama Islam di bawah kerajaan Terengganu di mana kuasanya adalah di bawah Sultan Terengganu.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria juga berpendapat bahawa keputusan mahkamah syariah itu perlu dihormati sebagaimana masyarakat Islam menghormati keputusan mahkamah sivil dan jenayah dalam negara.

Masyarakat Islam tidak pernah campur tangan dan memberi pandangan yang jelik terhadap fahaman dan anutan serta kepercayaan agama lain. Jadi apa juga hukum-hakam Islam jangan sewenang-wenangnya diulas dan disimpulkan dengan akal logik sahaja.

Adakah hukuman di Mah­ka­mah Syariah akan berlaku demi­kian juga atas sebab pertimba­ngan politik atau gangguan da­ripada bukan Islam? Ini berbahaya dan mengancam politik Malaysia dalam masa terdekat.

ZULKAS

Kg. Tengah, Johor