Turut mengalami masalah sama ialah Paris, Dubrovnik, Kyoto dan Reykjavik. Pihak berkuasa Thailand juga terpaksa bertindak menutup pantai Maya Bay yang menjadi lokasi filem The Beach. Langkah tegas ini diambil untuk memastikan ekosistem dijaga dengan baik agar mampu bertahan untuk jangka masa panjang.

Overtourism adalah pertumbuhan kedatangan pelancong yang berlebihan sehingga membawa kepada kesesakan di kawasan tersebut dan secara tidak langsung menyebabkan kesejahteraan penduduk tergugat. Selain itu, ia memberi kesan dalam pelbagai segi termasuk spekulasi hartanah, kerosakan ekosistem serta pembangunan infrastruktur yang hanya bertemakan pelancongan.

Overtourism boleh meruntuhkan industri pelancongan yang selama ini membawa peluang pekerjaan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi. Walaupun menguruskan aliran masuk pelancong seolah-olah satu tugas berat tetapi sesetengah bandar raya mengambil langkah drastik untuk mengehadkan kesan-kesannya termasuk pengenalan cukai baharu. Meskipun langkah ini terlalu drastik tetapi ia adalah sistematik kerana mencetuskan kesan ekonomi kritikal bagi mereka yang bergantung kepada industri ini.

Pemain pelancongan perlu mengakui industri ini memerlukan had. Kebajikan penduduk setempat perlu diutamakan. Pertimbangan sewajarnya mesti diberikan untuk memastikan tahap kunjungan sesuai dengan keupayaan sesuatu destinasi.

Bagi Malaysia, pihak yang bertanggungjawab perlu memandang serius situasi sebegini serta perlu mula menjejak bom jangka ini.

RUZAIMI SANY ZAINUDDIN

Damansara Heights