Pemandu dikatakan letih dan mengantuk tetapi tetap meneruskan perjalanan.

Ia sebagai satu ingatan kepada semua betapa bahayanya apabila cuba ‘melawan’ mengantuk.

Apabila memandu jarak jauh, ditambah pemboleh ubah yang pelbagai seperti waktu pemanduan, kondisi kesihatan dan kecergasan pemandu, bentuk dan permukaan jalan raya dan keadaan cuaca boleh menyebabkan mengantuk.

Mengantuk semasa memandu itu biasa terjadi tetapi yang paling dibimbangi apabila kita berada dalam situasi microsleep!

Microsleep adalah keadaan mengantuk yang membawa kepada terjadinya tidur singkat.

Ia amat berbahaya kerana situasi itu tidak dapat dikawal pemandu kerana ia terjadi dalam beberapa saat sahaja. Tetapi beberapa saat itu yang membawa malapetaka.

Microsleep ini terjadi tanpa amaran dan kerap berlaku apabila seseorang pemandu cuba melawan rasa mengantuk dan kekal berjaga untuk terus memandu.

Memetik satu kajian, pemandu trak di United Kingdom dari tahun 1995 hingga 2001, hampir 20 peratus kemalangan adalah disebabkan keletihan.

Manakala satu pertiga dari jumlah itu adalah disebabkan oleh fenomena microsleep ini.

Daripada satu kajian lain pula melaporkan 55 peratus pemandu memandu dalam keadaan mengantuk dan 23 peratus mengaku pernah tertidur semasa memandu.

Kebiasaannya para pemandu yang mengalami microsleep tidak menyedari mereka telah tertidur.

Lebih bahaya jika terjadi ketika sedang memandu laju dan jalan berselekoh.

Bagi mengelakkan situasi ini, lebih baik kita berhenti memandu untuk berehat atau lelap seketika.

Antara tanda-tanda kita mungkin bakal menjadi ‘mangsa’ microsleep ialah lambat bertindak balas terhadap sebarang maklumat; pandangan kosong, mata berkelip lebih kerap, menguap berlebihan dan tersentak tiba-tiba.

Semua simptom ini boleh berlaku ketika mata masih terbuka!

Cara pencegahan paling berkesan ialah memastikan pemandu mendapat tidur dan rehat berkualiti dan mencukupi sebelum memulakan pemanduan.

MOHD. ZAINI OTHMAN

Pegawai Tadbir USIM