Sering kali saya terfikir mengapa budaya ini yang setelah sekian lama diminati rakyat Malaysia tidak diterapkan oleh mana-mana institusi pendidikan? Adakah bagi mereka, budaya ini dianggap tidak matang? Atau tidak memberi apa-apa faedah?

Pihak institusi pendidikan perlu tahu bahawa budaya ini perlu diterapkan dalam institusi pendidikan sama ada di sekolah mahu pun di peringkat universiti, Ini kerana ia mampu menaikkan sifat keyakinan dan keberanian pelajar untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Tujuannya bukanlah untuk menarik minat pelajar agar meminati animasi dan komik, akan tetapi ia lebih kepada mengajak mereka untuk sentiasa mempunyai pemikiran terbuka tentang sesuatu budaya.

Masih ramai juga yang menganggap bahawa budaya ini mampu merosakkan budaya kaum yang ada di Malaysia dan ini telah melahirkan satu persepsi negatif tentang mereka yang meminati hobi seperti ini.

Cosplaying perlu dipandang tinggi kerana kini ia mampu menjana pendapatan tinggi bagi mereka yang mendalami bidang ini. Tambahan pula, harga setiap kostum yang dijual mampu mencapai harga sehingga RM2,000 ke atas.

Selain itu, punca harga kostum yang terlalu tinggi juga telah melahirkan generasi muda berfikiran kreatif kerana terdapat ramai yang mampu mereka pelbagai jenis kostum yang diingini. Mereka juga semakin berani mempamerkan hasil kerja tersebut kepada ramai orang.

Justeru, saya berharap orang ramai terutama institusi pendidikan dapat melihat faedah-faedah yang boleh didapati tentang cosplaying selain memberi sokongan sepenuhnya kepada generasi muda.

Ini juga dapat memberi peluang terutama pelajar universiti dalam menarik minat mereka untuk mewujudkan sebuah 
kelab yang kelak dapat membantu menjana pendapatan negara.

PENSYARAH MUDA

Perak