Kini tinggal beberapa tahun sahaja lagi sebelum Malaysia menempuhi era negara berpendapatan tinggi, namun gaji permulaan graduan STEM dilihat masih tidak berganjak dengan purata dalam lingkungan jumlah sama seperti hampir 20 tahun lalu.

Bayangkan dengan kos sara hidup meningkat berkali ganda dan beban hutang yang perlu ditanggung graduan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), mereka masih menerima gaji pokok bulanan seperti di era 90-an. Usahlah kita bercakap tentang pendapatan per kapita kerana keadaan itu sama sekali tidak menggambarkan kemelut sebenar.

Situasi ini bukan sahaja menambahkan bilangan generasi muda yang jauh lebih miskin berbanding ibu bapa mereka, bahkan mereka berisiko tinggi menjadi muflis. Lebih malang, mungkin terdapat ibu bapa terpaksa menghabiskan simpanan hari tua untuk membantu anak-anak menyelesaikan hutang pendidikan bagi mengelakkan mereka disenaraihitamkan.

Mempunyai jumlah IPTS yang banyak adalah satu kelebihan. Namun jika aspek keuntungan sahaja diutamakan, generasi muda akan terperangkap dengan beban hutang yang tiada kesudahan.

IPTS adalah laluan untuk pelajar yang tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Bagi pelajar STEM yang mengambil diploma dan kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat ijazah, hutang pendidikan ditanggung mereka bukan sahaja mencecah ribuan ringgit bahkan ada melebihi RM100,000 sebaik sahaja tamat pengajian.

Sebagai ibu bapa tentulah emosi mereka sedikit terganggu apabila anak-anak berusia awal 20-an dan masih belum ada jaminan pekerjaan sudah mempunyai beban hutang yang begitu tinggi.

Kerajaan menggalakkan pelajar untuk mengambil jurusan STEM di IPTA dan IPTS, malangnya STEM antara jurusan yang tinggi kos pengajiannya sedangkan imbuhan yang bakal mereka terima sebaik mendapat jawatan tertentu di sektor awam atau swasta tidaklah setinggi graduan jurusan lain. Itu belum mengambil kira graduan menganggur dalam tempoh lama.

Dalam ruangan terhad ini, saya mewakili ibu bapa sangat berharap agar kerajaan khususnya Perdana Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Profesor Negara serta pihak terlibat dalam Persidangan Meja Bulat TN50 dan mungkin juga Bank Negara Malaysia bersama-sama mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan graduan IPTS daripada terjerumus ke kancah hutang yang amat tinggi pada usia mentah.

Carilah mekanisme terbaik untuk mengurangkan kos pendidikan tinggi. Memberi hutang bukanlah jalan penyelesaian terbaik kerana akan mengakibatkan masalah jauh lebih rumit pada masa akan datang.

Kajian dijalankan oleh mereka yang pakar dalam bidang psikiatri mendapati penyakit mental bakal menjadi penyakit kedua tertinggi di negara ini menjelang tahun 2020. Cegahlah sebelum terlambat.

IBU BAPA RISAU

Dungun,

Terengganu