Sebagai rakyat yang cintakan negara tentu sekali berita tersebut meresahkan kita lantaran masih ada segelintir manusia tergamak mahu melumpuhkan negara sendiri dek kerana terlalu menggilai kuasa.

Tindakan kelompok berkenaan yang terus menerus memburukkan imej negara di luar dengan menyebarkan pelbagai berita berupa fitnah dan memberi gambaran palsu tentang keadaan ekonomi negara sehingga mencetuskan kesangsian pelabur untuk melabur di negara kita amat mendukacitakan.

Begitupun kita percaya pendedahan Perdana Menteri di Parlimen mengenai pelaburan Saudi Aramco itu adalah sebahagian contoh daripada banyak lagi cubaan sabotaj ekonomi yang dilakukan oleh pihak terbabit melalui penyebaran maklumat palsu sehingga menakutkan pelabur-pelabur luar untuk melabur di Malaysia.

Selain pelaburan Saudi Aramco itu, kita juga dikejutkan dengan hakikat bahawa negara pernah kehilangan pelaburan Kuokuang Petrochemical Technology Co. (KPTC) pada 2013. Hal itu didedahkan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan, susulan pendedahan Perdana Menteri berkaitan perlakuan mensabotaj ekonomi negara baru-baru ini.

Cheng Guan antara lain mendedahkan pemimpin parti pembangkang yang sanggup menghantar empat wakil mereka ke Taiwan untuk memprotes penyertaan KPTC daripada melabur dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) pada 18 Julai 2013. Selain RAPID, pem­bangkang juga pernah cuba men­sabotaj projek Lynas di Kuantan, Pa­hang.

Beberapa tindakan pembangkang memanipulasikan isu tertentu termasuk usaha memburukkan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lembaga Tabung Haji serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga telah memberi isyarat kepada pelabur bahawa negara kini berada dalam keadaan yang tidak stabil.

Tindakan itu dilihat sebagai langkah yang berbahaya kerana boleh mensabotaj ekonomi negara sedangkan isu berkenaan dimainkan hanya untuk memenuhi hasrat memenangi pilihan raya umum.

Perlakuan sabotaj ekonomi seumpama itu sebenarnya suatu bentuk pengkhianatan kepada rakyat dan negara kerana mampu memporak-perandakan kesejahteraan hidup rakyat yang amat bergantung kepada kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan.

Kita sudah nampak, pelabur yang termakan hasutan enggan melabur di Malaysia. Ketiadaan pelaburan yang boleh menawarkan pekerjaan kepada rakyat mahupun memberi pulangan cukai kepada negara pada akhirnya tentu kembali memberi kesan kepada rakyat yang menanggung beban kehidupan lebih besar akibat kelembapan ekonomi negara.

Bayangkan berapa banyak peluang pekerjaan, latihan keusahawanan sama ada dalam industri kecil atau sederhana, industri perkhidmatan dan aktiviti ekonomi lain hasil daripada pelaburan tidak akan wujud sekiranya pembangkang berjaya dalam agenda jahat mereka untuk mensabotaj ekonomi negara.

Pihak terbabit yang memburuk-burukkan negara dari segi ekonomi sebenarnya mempunyai agenda tersendiri untuk mencapai cita-cita politik masing-masing. Kumpulan itu sebenarnya mahu menimbulkan persepsi negatif yang dianggap tidak baik terhadap pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mereka mahu memperlihatkan kepada rakyat bahawa kerajaan BN sudah tidak pandai lagi menguruskan ekonomi negara dan perlu ditukarkan kepada pembangkang melalui proses pilihan raya akan datang ini.

Apa yang pasti perlakuan sabotaj seperti ini adalah satu bentuk kemudaratan yang wajar ditangani secara tegas. Dalam hal ini saya amat bersetuju dengan saranan Cheng Guan agar Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara supaya melihat undang-undang yang boleh dikenakan ke atas pengkhianat terbabit.

Pada hemat saya, kepentingan rakyat dan negara tidak seharusnya menjadi pertaruhan dalam soal politik kepartian. Sekalipun berbeza pendapat, masyarakat tidak harus terpedaya dengan fitnah keterlaluan sehingga boleh merosakkan kepentingan rakyat dan negara. Waima apapun, kita mesti bersatu dalam beberapa perkara yang membabitkan kepentingan bersama.

 

SENTIASA NEUTRAL

Rembau