Bayi perempuan itu dipercayai telah didera secara fizikal dan seksual, satu perbuatan kejam, sadis serta tidak dapat diterima dek akal oleh mana–mana manusia yang memiliki fikiran waras.

Kejadian tersebut mengundang rasa marah dan empati seluruh masyarakat negara ini yang mengutuk perilaku di luar kemanusiaan itu.

Ramai juga mula bertanya adakah dengan cadangan sesetengah pihak memansuhkan hukuman mati di Malaysia, kita dapat mengurangkan kadar jenayah kejam seperti apa menimpa bayi malang itu?

Adakah dengan memansuhkan hukuman mati dapat memberi keadilan kepada keluarga mangsa jenayah berkenaan?

Semua persoalan ini harus diberikan perhatian serius oleh kerajaan sebelum mengambil sebarang keputusan memansuhkan hukuman mati. Di Malaysia, kaedah pelaksanaan hukuman mati adalah menerusi kaedah gantung seperti yang telah termaktub di bawah Kanun Acara Jenayah.

Kesalahan membunuh dengan niat, mengedar dadah melebihi jumlah yang ditetapkan dan kesalahan bersabit pemilikan senjata api adalah di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang pesalah dihukum gantung sampai mati.

Dalam sistem perundangan Malaysia, seseorang tertuduh akan melalui beberapa peringkat perbicaraan sebelum hukuman mati dilaksanakan.

Peringkat pertama, hukuman diputuskan Mahkamah Tinggi diikuti Mahkamah Rayuan dan terakhir sekali Mahkamah Persekutuan yang paling tinggi dan terakhir untuk sebarang proses rayuan.

Sekiranya ketiga-tiga peringkat mahkamah ini memutuskan tertuduh bersalah, maka rayuan pengampunan boleh dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang Dipertua Negeri, bergantung di mana kesalahan itu dilakukan.

Jika keputusan ini dianggap muktamad dan dikekalkan, maka mahkamah akan memerintahkan Jabatan Penjara Malaysia melaksanakan hukuman gantung sampai mati terhadap pesalah.

Cadangan pemansuhan hukuman mati sudah lama dibuat bukan sahaja di Malaysia malah hampir di semua negara di seluruh dunia. Terdapat banyak perdebatan panas mengenai cadangan ini.

Ada yang menyokong dan ada juga membantah. Pihak yang menyokong berpendapat hukuman mati tidak mengurangkan kadar jenayah dan hidup mati seseorang tidak seharusnya diberikan kepada pemerintah di samping risiko berlaku ketidakadilan.

Mereka yang tidak menyokong pula berpandangan hukuman mati penting dalam mengawal kadar jenayah malah perlu bagi mengawal pematuhan undang–undang, memberi keadilan kepada keluarga mangsa dan menghalang pesalah daripada terus melakukan jenayah sama kepada orang lain.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk kerajaan mengkaji cadangan pemansuhan hukuman mati ini dengan teliti sebelum membuat keputusan akhir.

Kerajaan disaran mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan pemansuhan hukuman mati ini dengan mengambil kira pendapat serta pandangan pakar undang–undang dan prosedur jenayah negara kita seperti hakim, peguam, ahli akademik, badan–badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu berkepentingan seperti ahli keluarga mangsa jenayah.

DR. MUZAFFAR 
SYAH MALLOW

USIM