KEBELAKANGAN ini ramai anak waris membuat pelantikan sendiri sebagai Undang Luak Je1ebu ke-16. Ibaratnya seperti anak buah kehilangan Buapak (Ketua Adat) yang tidak dapat arah panduan. Jalan terakhir kemelut itu terserah kepada ketentuan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan sama ada diterima atau sebaliknya semua pelantikan tersebut.

Sekurang-kurangnya empat anak waris mengisytiharkan diri menjadi Undang dengan atur cara majlis berasingan. Yang terbaharu satu majlis mandi sandang tabal Undang Jelebu telah dilangsungkan di Broga, Semenyih pada 15 Januari lalu. Sebe1um itu, daripada laporan media sosial, beberapa calon lain melakukannya secara bersendirian dengan dihadiri oleh keluarga terdekat.

Lebih dua tahun telah berlalu dan belum ada calon rasmi untuk diisytiharkan bagi menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Allahyarham Datuk Musa Wahab yang meninggal dunia pada 11 September 2014.

Kelewatan pelantikan baharu berlaku kerana kegagalan Pemangku Undang, Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, Mat Tarmizi Selamat mengisytiharkan calon Undang Luak Jelebu ke-16. Hanya selepas dipecat oleh anak-anak buahnya, beliau telah bertindak mengisytiharkan Muhamad Azafean Muhamad Fahmi sebagai calon Undang Luak Jelebu ke-16.

Pengumuman tersebut yang dibuat lewat dan tergesa-gesa menjadikan pelantikan itu tidak sempurna dan mencetuskan kontroversi berikutan kedudukan para Dato’ Lembaga (Kabinet Undang) telah berpecah dua sejak awal lagi.

Cetusan kontroversi itu telah membuka ruang kepada anak-anak waris lain daripada Perut Bemban dan Perut Teriang untuk menuntut jawatan itu jika krisis Perut Kemin Beringin tidak selesai walaupun keutamaan adalah giliran suku waris Kemin Beringin.

Hari ini, sudah ada waris-waris lain mengisytiharkan diri mereka sebagai calon ‘pilihan’ kononnya Perut Kemin Beringin bermasalah. Ingat! Jangan terlalu ghairah merebut jawatan Undang Luak tetapi lupa mematuhi peraturan adat.

Oleh yang demikian, sesiapa sahaja yang menawarkan diri sebagai calon Undang Jelebu kali ini perlu memastikan bahawa segalanya telah disempurnakan termasuk istiadat timbang salah demi untuk memelihara pesaka waris Undang Luak Jelebu.

WARIS KEMIN BERINGIN

Jelebu