Pelajar tersebut bukan sahaja cemerlang menyampaikan hujah dalam bahasa Inggeris, malah mengemukakan beberapa persoalan penting tentang beza pengundi pada usia 18 dan 21 tahun.

Antara lain, pengundi berusia 21 tahun sudah mula bertanggungjawab terhadap perbelanjaan sendiri termasuk perihal membeli petrol, barang dapur dan menjaga kesihatan.

Mereka juga merasa sendiri impak polisi-polisi kerajaan berbanding remaja 18 tahun yang sekadar mendengar cakap orang luar dan tidak melalui sendiri kesan langsung tindakan pentadbiran negara terhadap kehidupan sendiri.

Hasya Atiyah juga mempertikaikan politik Malaysia yang lebih berasaskan populariti parti sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat undi, khususnya dari golongan muda.

Anak muda itu turut berhujah pengundi muda mudah dieksploitasi khususnya dengan berita palsu dalam media sosial sementara pengundi lebih berusia mempunyai pengalaman untuk membuat keputusan rasional.

Tambahan pula anak muda, khususnya Melayu, rata-ratanya tidak berminat dengan politik dan dikhuatiri membuat pilihan melulu dengan mengikut kelompok tertentu tanpa memikirkan kesannya terhadap masa depan mereka mahu pun negara jika diberi kuasa mengundi terlalu awal.

Secara peribadi, saya merasakan menurunkan usia pengundi kepada 18 tahun hanya menguntungkan parti-parti bukan Melayu yang rata-ratanya sudah mendaftarkan hampir semua pengundi melebihi 21 tahun menjelang pilihan raya Mei lalu.

Berbeza dengan pengundi Melayu yang mempunyai antara empat hingga enam juta pengundi baharu melebihi usia 21 tahun yang belum didaftarkan di seluruh negara disebabkan sikap serta kelemahan parti dan ahli politik Melayu sendiri.

Sekiranya diteruskan rancangan ini, pengundi bukan Melayu akan meningkat dengan mendadak menjelang pilihan raya umum akan datang sementara pengundi Melayu dan bumiputera pula kekal sama jika tiada perubahan sikap kepada parti, ahli politik dan pengundi Melayu.

UNDI PERTAMA

Cheras, Kuala Lumpur