Kebiasaannya mereka yang ada kepentingan perniagaan akan menggunakan HSR tetapi bilangannya kecil sahaja di negara ini. Lagi pun rakyat Malaysia kurang berminat untuk berbelanja atau melancong ke Singapura kerana nilai mata wangnya dua kali ganda berbanding Ringgit Malaysia.

Walaupun HSR hanya mampu mengambil masa dua setengah jam sahaja perjalanan tetapi berkemungkinan harga tiketnya mencecah dua atau tiga ratus ringgit bagi perjalanan sehala.

Ini sudah tentu tidak menguntungkan syarikat yang mengendalikannya kelak kerana kemampuan rakyat Malaysia itu sendiri terhad dan banyak alternatif menggunakan kenderaan awam lain yang lebih menjimatkan dan lebih selesa.

Manfaat HSR nampaknya lebih kepada kemudahan rakyat dan pelancong dari Singapura dan bukannya untuk warganegara Malaysia atau pekerja kita yang bekerja di republik itu.

Dalam keadaan kita sedang cuba untuk pulihkan ekonomi dan pulihkan kestabilan pentadbiran negara, amat bijak sekali apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad memberikan kata putus bahawa projek HSR dibatalkan sekalipun negara terpaksa membayar pampasan RM500 juta daripada terpaksa menanggung kerugian berbilion ringgit kelak.

Sekiranya dialihkan peruntukan sebesar itu untuk membina jambatan bengkok yang di suatu ketika dahulu dirancangkan adalah lebih berbaloi dan menguntungkan negara dari segi ekonomi dan perdagangan antarabangsa.

Selain dapat menggantikan tambak Johor yang sudah ketinggalan zaman kerana laluannya sempit, sudah tentu jambatan bengkok ini yang saya faham setinggi 25 meter dari aras tanah dapat menarik kapal-kapal dagang kecil menggunakan dan berlabuh di Pelabuhan Pasir Gudang di Johor.

Ini lebih menjimatkan kos daripada mereka singgah di pelabuhan Singapura itu sendiri dan dalam masa yang sama juga laluan air laut sekitar Tambak Johor tidak lagi tercemar dengan sampah sarap seperti sekarang.

Sebenarnya idea untuk membina jambatan bengkok itu adalah cadangan daripada Dr. Mahathir sendiri dan sepatutnya diteruskan sahaja projek tersebut kerana rakyat Malaysia penuh yakin apa juga langkah dan idea Dr. Mahathir yang bijak serta kreatif ini selalunya menjadi.

Diharap projek kereta api Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga dikaji semula akan kesannya kepada ekonomi sekiranya diteruskan kerana kosnya hampir sama dengan projek HSR dalam keadaan kita masih lagi membina semula ekonomi dan pentadbiran negara.

Walaupun ECRL agak penting dan mampu membangunkan negeri-negeri di sebelah pantai timur tetapi untuk memastikan kestabilan kedudukan ekonomi kita maka wajarlah ditangguhkan dahulu projek ECRL itu.

Kita tidak mahu terikat atau terpaksa berhutang, bergolok bergadai yang akhirnya boleh mendatangkan musibah kepada negara. Jangan terperangkap dengan masalah hutang melampau hingga tergadai maruah yang mampu membuatkan sesebuah negara itu muflis dan secara tidak langsung akan ‘dijajah’ oleh kuasa besar yang selama ini ada ‘udang di sebalik batu’.

HAMBA ALLAH