GEJALA jangkitan virus baharu HFMD menimbulkan gelembung bisa kepada kanak-kanak. GAMBAR IHSAN PEMBACA

Baru-baru ini seorang rakan saya terpaksa berhenti kerja selepas Jabatan Sumber Manusia menyukarkan permohonan cutinya untuk menjaga anak yang dijangkiti HFMD.

Tempoh kuarantin tujuh hari yang kebiasaannya diberikan klinik dan hospital memang tidak mencukupi kerana penyakit itu boleh berpanjangan kesannya sehingga tiga bulan.

Ini bermakna ibu bapa perlu mengambil cuti tambahan malah dalam kes rakan saya, dia terpaksa berhenti kerja kerana mengutamakan anak daripada kerja di tempat yang tidak pedulikan kebajikan kakitangan.

Saya dimaklumkan virus HFMD yang menular di seluruh negara kini jenis baharu dan kesannya juga lebih teruk daripada virus jenis lama. Lebih mengejutkan laporan berita seorang kanak-kanak disyaki meninggal akibat HFMD, yang pertama seumpamanya.

Persoalannya, apa tindakan kerajaan terhadap majikan yang menindas pekerja pada waktu cemas sebegini? Adakah sampai anak kecil meninggal dunia baru mahu kasihankan nasib pekerja?

Bagaimana pula risiko bawaan virus tersebut ke tempat kerja sebelum dibawa pulang pekerja lain apabila kakitangan dipaksa juga masuk bekerja? Sama ada pegawai Jabatan Sumber Manusia itu tiada hati perut atau memang majikan cuma memikirkan keuntungan sendiri sahaja.

Lebih mengejutkan, rakan saya bekerja di sebuah hospital ternama di Kuala Lumpur tetapi dia enggan mengeruhkan keadaan dengan melaporkan kejadian itu kepada pihak berwajib. Semoga pegawai yang menganiaya pekerja itu diberikan balasan setimpal.

Pengurusan atasan mahu pun kementerian berwajib tolonglah pantau perkembangan ini. Selain merebak melalui kemudahan di tempat awam dan pasar raya, virus ini juga berisiko disebarkan di tempat kerja jika pekerja tidak diberi cuti secukupnya untuk menjaga anak dijangkiti HFMD.

SAINTIS MUDA

Kuala Lumpur