Pada mulanya, saya beranggapan berita itu sengaja disensasikan bagi tujuan tertentu tetapi setelah dialami oleh keluarga sendiri, barulah saya sedar sesetengah dakwaan itu ada kebenarannya.

Baru-baru ini, seorang anak kecil dalam keluarga saya terkena air panas. Oleh kerana kelam-kabut, kanak-kanak itu dibawa ke hospital swasta yang berdekatan dengan rumah kami.

Apa yang memeranjatkan, sejurus tiba di kaunter pendaftaran, ayat pertama dilontarkan kakitangan hospital itu adalah “Encik ada insurans kesihatan atau deposit untuk bayar pendahuluan rawatan?”

Diakui kami tidak membawa wang mencukupi untuk membayar deposit tetapi kami ada kad insurans kesihatan tetapi tertinggal di rumah. Bagi memenuhi syarat itu, kami terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil kad tersebut, manakala anak kecil terbabit ditinggalkan dengan ibunya.

Apa yang dikesali, sepanjang tempoh kira-kira setengah jam sebelum kami kembali dengan kad insurans itu, tiada sebarang pemeriksaan atau rawatan awal diberikan kakitangan hospital terhadap mangsa yang sedang menangis kesakitan.

Adakah ini prosedur atau amalan yang dipraktikkan di hospital swasta? Tidak mengambil peduli tentang pesakit dalam keadaan apa sekalipun melainkan dihulurkan wang pendahuluan terlebih dahulu sebelum segala bantuan dan rawatan diberikan?

Seolah-olah tiada tanggungjawab dan rasa berperikemanusiaan yang membudayakan semangat kekitaan sesama insan atau sifat budi bicara dalam kalangan pegawai perubatan di hospital swasta.

Janganlah terlalu komersialkan tempat untuk merawat pesakit ini hinggakan tiada perasaan kasih sayang dan bertolak ansur sebagaimana dituntut oleh Islam.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Yang Dipertua Persatuan Keluarga Jamalullail Perak