Dalam apa jua ajaran agama, penipuan adalah satu sifat jijik di sisi Tuhan. Dewasa ini, terdapat kedai makan yang bukan milik orang Islam ‘dijaja’ sebagai kedai makan milik orang Islam terbongkar apabila pihak berkuasa menyiasat premis-premis ini.

Pada hemat saya, apa yang berkaitan dan menye­ntuh dengan isu agama, kita tidak boleh buat main-main atau pandang ringan, lebih-lebih lagi dalam bab halal haram. Mungkin ia tidak berperanan penting kepada yang bukan Islam seperti saya, tetapi ia penting untuk umat Islam kerana bersangkut-paut dengan akidah mereka.

Oleh demikian, sebagai peniaga yang bertanggungjawab, kita tidak boleh ‘menipu’ semata-mata hendak mengaut keuntungan dari segi wang ringgit. Ada perkara yang lebih penting, yakni, menghormati sesama insan, bukan sahaja perkara luaran, tetapi kepada pegangan agama yang berbeza dengan kita.

Kalau kita dapat hidup hormat-menghormati antara satu sama lain, nescaya, syak wasangka antara kaum akan berkurangan serta komen-komen yang berbaur rasis yang berleluasa kini dapat dikurangkan.

Kita mesti hormati satu sama lain dengan menambah ilmu penge­tahuan tentang kepercayaan dan kehidupan sahabat kita yang berlainan kaum. Dengan penge­tahuan yang kita miliki maka kita lebih memahami bagaimana untuk melayan dan menghormati satu sama lain.

KENNETH CHEW

Lunas, Kedah'