Terlebih dahulu, tahniah diucapkan atas kelahiran baharu anak beliau dan semoga keluarganya kekal dalam rahmat Ilahi.

Baru-baru ini, sekali lagi negara digemparkan dengan video tular Aliff mengenai kucingnya, 'Bedah’ yang melahirkan anak kucing tetapi gagal diselamatkan. CGiG merasa terkesan berikutan video tular tersebut kerana kami merasakan beliau tidak memahami dunia kucing secara ilmiah.

Dalam suatu kisah, Nabi Muhammad SAW juga peminat kucing yang diberi nama 'Muezza’. Baginda menyayangi kucing seperti ahli keluarga sendiri.

Untuk pengetahuan Aliff, kucing juga bersifat sedikit sebanyak seperti manusia. Kucing memerlukan kasih sayang, perhatian dan juga masa untuk bersendirian.

Haiwan ini memahami erti sakit, cuma sukar untuk diluahkan. Andai Aliff dapat memahami sekelumit bahasa mereka, kami percaya beliau tidak akan berbuat seperti mana yang telah dilakukan pada Bedah ketika proses kelahiran anaknya.

Seperti manusia, kucing juga memerlukan privasi. Kucing melahirkan anak bukanlah sesuatu yang harus dirakam apatah lagi membuat bising, menggedik sambil terpekik-pekik seperti di dalam video tersebut.

Aliff perlu menghormati akan privasi kucing tersebut. Di manakah akal serta common sense beliau ketika mengangkat sangkar Bedah sehingga terlepas?

Ia tidak ubah seperti ‘manusia baru bersalin di suruh berlari’.

CGiG memohon jasa baik Aliff untuk lebih sensitif, memahami serta mahu belajar cara menjaga kucing dan berinteraksi dengan betul, malah pupuk sifat ingin belajar daripada mereka yang mahir.

Wang ringgit bukan segala-segalanya sementara kasih sayang dan rasa hormat adalah perkara yang tidak boleh dibeli.

Selain itu, kami amat mengagumi kejayaan Aliff dalam menguruskan perniagaan dan juga tersenarai sebagai seorang usahawan muda yang berjaya.

CGiG tidak berniat ingin menjadi netizen yang tidak berhemah dengan memberi komen-komen negatif, hanya menganggap kucing adalah sebahagian keluarga kami.

Besar harapan kami supaya Aliff dapat menerima nasihat ini dengan hati terbuka.

KUMPULAN PENCINTA KUCING