Terbaharu, krisis air di Selangor. Tiba-tiba pula ada pihak menuduh Kerajaan Pusat merancang untuk jatuhkan kerajaan Selangor ekoran berlakunya krisis berkenaan. Di mana kewarasan akal yang Allah SWT berikan? Fakta dan kebenaran ada di sekeliling kita tetapi malangnya ada yang tetap percaya bulat-bulat auta politik seperti ini.

Saya penat apabila melihat suasana tersebut. Namun keadaan itu tidak mematahkan semangat saya untuk menjelaskan fakta sebenar kepada golongan berkenaan. Sungguhpun begitu masing-masing nampaknya tetap dengan pendirian bahawa kata-kata idola politik mereka sahaja yang betul meskipun fakta yang dikemukakan langsung tidak masuk akal.

Lebih menyedihkan, fitnah sebegini begitu cepat dikongsi dan kemudian disebar tanpa usul periksa khususnya di media sosial seolah-olah mereka tidak kisah akan dosa yang bakal ditanggung. Saya percaya mereka bukannya tidak tahu akan dosa menyebarkan fitnah namun disebabkan terlalu mengikutkan nafsu segala-galanya sanggup diketepikan.

Dengan kata lain, mereka sanggup berkongsi dosa dengan idola politik yang hanya mengejar kuasa dan kekayaan duniawi. Tolonglah hentikan fitnah ini. Perbuatan tersebut hanya akan menyebabkan masyarakat terus berpecah-belah.

Sebagai umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran agama kita sendiri tahu kesan perbuatan memfitnah ini dan yang pasti Allah dan Rasulullah SAW amat membencinya. Jangan nanti di saat-saat pemergian bertemu Allah, tubuh kita masih bergelumang dengan dosa fitnah.

Oleh itu, amatlah diharapkan apabila tiba musim Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti (yang akan diadakan pada bila-bila masa) setiap kempen yang dijalankan biarlah berasaskan kepada fakta kebenaran agar rakyat dapat membuat penilaian sebaik-baiknya.

ADAM AKMAL ROSLI
Ampang, Selangor