Sakit adalah musibah yang menimpa seseorang mukmin dan mengandungi hikmah kerahmatan kepada hamba-hamba-Nya. Allah akan memberikan ujian dan musibah kerana tahu bahawa hamba-Nya seorang yang kuat dan tabah dalam menghadapi setiap cubaan.

Setiap mukmin berbeza ujian dan cubaan yang diberikan kepadanya. Allah mengetahui setiap kekuatan dan kelemahan hamba-Nya yang mampu bersabar dan menghadapi segala ujian.

Semua mukmin yang diberikan ujian hendaklah reda dan bersabar kerana sakit itu penghapus dosa. Apabila kita sakit, Allah SWT akan menarik empat nikmat yang diberikan.

Antaranya ialah segala yang kuat akan menjadi lemah, nikmat untuk merasai rasa enak makanan menjadi tawar, kegembiraan yang terpancar di wajah akan menjadi pucat lesi dan yang terakhir adalah dosa-dasa tertentu akan diampunkan Allah SWT.

Hikmah sesuatu penyakit amatlah besar. Apabila kita sebagai hamba diuji dengan sesuatu penyakit, hendaklah kita berusaha untuk berubat dan setelah itu kita haruslah bersabar dan reda dengan setiap perkara yang berlaku dalam hidup.

Statistik menunjukkan ramai Muslim sekarang yang apabila sakit, diri sendiri mengalah dengan ujian itu sehingga ada yang sanggup membunuh diri.

Zaman sekarang ibarat sudah tidak ada lagi agama dalam diri mereka. Mungkin mereka tidak bergantung sebaiknya dengan Allah sehingga sanggup untuk melakukan perkara yang dilarang apatah lagi haram dalam Islam.

Oleh itu, sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita perlulah mendalami agama itu sendiri, bukan dengan hanya nama yang diberikan bahkan perlunya mempelajari Islam dengan lebih mendalam.

Justeru itu, kita sebagai hamba-Nya haruslah senantiasa bersangka baik walau dalam apa jua keadaan. Janganlah kita sebagai manusia merasakan sakit itu adalah sesuatu malapetaka kerana kita harus percaya bahawa setiap yang berlaku ke atas diri terselit hikmah besar yang kita sendiri tidak ketahui.

NUR SHAHIDDA ASHIQQIN HUSSAIN

Nilai