Baru-baru ini, ada pendedahan dan kebimbangan penduduk Kuala Langat apabila pihak berkuasa mendapati 41 daripada 54 buah kilang sisa plastik di daerah ini beroperasi tanpa lesen.

Kesan daripada aktiviti memproses sisa plastik dalam tempoh kira-kira dua tahun itu menyebabkan penduduk di daerah berkenaan yang berjumlah sekitar 300,000 orang kini berdepan dengan masalah kesihatan termasuk risiko menghidap kanser.

Oleh itu, kita menyokong ketegasan Menteri Besar Selangor menuntut Kerajaan Persekutuan mengharamkan sepenuhnya kemasukan sisa plastik ke negara ini khususnya ke Selangor.

Menteri Besar Selangor juga diingatkan jangan lupa mengambil tindakan menutup dan menyaman 41 kilang haram tersebut tidak kira siapa yang ‘melindungi’ mereka.

Kepada kerajaan Pusat, janganlah seperti ketam mengajar anak berjalan. Rakyat disuruh tidak guna straw dan beg plastik malah sampai mengenakan denda tetapi dalam masa sama mencari keuntungan mudah dengan mengenakan levi bagi sisa plastik yang diimport ke kilang haram.

Daripada diimport sisa plastik negara lain, baik kumpul plastik yang ada dalam negara sahaja. Dapat juga rakyat mencari rezeki tambahan dengan mengutip plastik buangan.

AZIZIM

Tanjung Malim