Kotak rokok yang memaparkan gambar-gambar ngeri akibat kesan-kesan buruk tabiat itu hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh perokok. Saya cukup hairan dengan keadaan itu sedangkan kita tahu bahawa tabiat merokok tiada satu pun yang mendatangkan kebaikan.

Mahu tidak mahu, semua pihak terutama Kementerian Kesihatan perlu menggandakan usaha tersebut dan saya cadangkan agar kempen ini dipergiatkan semula secara besar-besaran. Saya juga memohon Kementerian Kesihatan memperhebatkan tugas-tugas penguatkuasaan.

Maksud saya perlu lebih ramai lagi penguat kuasa Kementerian Kesihatan ditempatkan di mana-mana lokasi yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok seperti kawasan rehat dan rawat (R&R), kawasan hospital dan bangunan berhawa dingin. Jika mereka berjaya menangkap perokok yang melakukan kesalahan ini, tindakan menurut undang-undang hendaklah dibuat.

Satu perkara lagi, tabiat merokok adalah satu pembaziran wang yang tidak sepatutnya berlaku.

MUHAMAD KHAIRUL AZRIN AZHAR

Nilai