PADA 2016, seramai 22,320 orang dari Malaysia diberikan peluang menunaikan haji di Mekah oleh pihak berkuasa Arab Saudi dan kuota haji untuk tahun ini adalah seramai 27,900 orang.

Umat Islam di Malaysia yang menunaikan haji tidak membayar kos sebenar untuk mengerjakan ibadat itu kerana Tabung Haji memberikan subsidi kepada mereka.

Menurut laporan akhbar baru-baru ini, kos sebenar bagi seorang jemaah pada 2017 adalah RM19,550.

Bayaran yang perlu dibayar bagi setiap jemaah adalah RM9,980 dan Tabung Haji memberikan subsidi sebanyak RM9,570.

Jumlah keseluruhan subsidi yang akan dibayar Tabung Haji pada tahun ini adalah kira-kira RM200 juta berbanding RM160 juta pada tahun lalu.

Menurut rekod, badan itu telah membelanjakan hampir RM1 bilion untuk kos subsidi dari 2007 hingga 2016.

Berikutan adanya subsidi berkenaan, jemaah haji Malaysia yang belum berkemampuan membayar kos sebenar, dapat menunaikan ibadat itu.

Islam mensyaratkan individu yang mahu menunaikan Rukun Islam kelima iaitu haji di Mekah mempunyai sumber kewangan sendiri yang mencukupi.

Kos itu termasuk tambang kapal terbang, tempat penginapan, makan dan minum serta bayaran-bayaran lain yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

Dalam al-Quran ada ayat yang menyebut mengenai syarat istitaah (berkemampuan) ke atas orang Islam yang mahu menunaikan ibadat haji.

Maksud berkemampuan itu termasuk keadaan aman yang membolehkan perjalanan pergi dan balik dengan selamat, sihat dan mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk membayar segala kos mengerjakan haji.

Ini bermakna orang Islam berkemampuan sahaja yang wajib menunaikan haji.

Sehubungan itu, saya berharap Tabung Haji tidak lagi memberikan subsidi bagi memastikan peluang menunaikan haji hanya diberikan kepada orang Islam yang benar-benar berkemampuan.

Langkah itu akan memastikan tempoh menunggu untuk mendapat peluang menunaikan haji dapat dipendekkan.

Satu lagi faedah adalah subsidi yang sepatutnya dibayar kepada jemaah haji boleh disumbangkan kepada tabung pendidikan untuk pelajar Islam miskin yang tidak mampu membayar yuran pengajian atau kos sara hidup semasa belajar di universiti.

Pelajar Islam miskin lebih berhak mendapat subsidi berbanding bakal haji kerana Islam hanya mewajibkan Muslim yang benar-benar mampu sahaja untuk menunaikan ibadat itu sedangkan agama itu mewajibkan umatnya menuntut ilmu dunia dan akhirat tanpa mengira mereka miskin atau kaya.

IBRAHIM ABU BAKAR

Kuala Lumpur