Sikap sombong bagaimanakah yang dimaksudkan mereka? Parti atau individu (pemimpin)? Apakah yang dimaksudkan sebagai sombong itu? Apakah sikap sombong seorang dua individu itu mewajarkan penilaian untuk keseluruhan parti? Parti ini juga dimomokkan sebagai parti eksklusif, sehingga memaksa pemimpinnya banyak bercakap pasal inklusif, seolah-olah perkara eksklusif itu menjadi satu dasar UMNO yang jelas tertulis pada perlembagaan atau peraturannya.

Dalam konteks memahami kehendak rakyat, mungkin elok juga perlu dibezakan di antara tidak memahami kehendak rakyat dengan tidak memilih tindakan popular, yang saya fikir selalu dikelirukan oleh pengkritik politik.

Mungkin juga perlu ditarbiahkan kepada rakyat betapa tidak semua keputusan yang popular itu boleh membawa kebaikan kepada rakyat, bahkan mampu dilaksanakan pun.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini telah membuktikan hakikat ini, dengan pengakuan pemimpin mereka sendiri !

Justeru, apakah ia masih relevan untuk diulang-ulang hujah bahawa kekalahan UMNO/BN pada PRU-14 lalu kerana sikap sombong dan tidak memahami kehendak rakyat? Jika kita semua boleh bersetuju bahawa UMNO itu parti perjuangan, bukan sekadar parti pemerintah, maka mungkin UMNO sekali lagi boleh mengambil tindakan tidak popular. Kerana suatu perjuangan itu bukan bermatlamatkan populariti, berbanding kelangsungan parti politik dengan menegur dan menyedarkan rakyat betapa mereka juga tidak maksum dan boleh melakukan kesalahan dalam sistem politik demokrasi, di sebalik slogan demokrasi yang sentiasa memenangkan rakyat dalam apa jua keadaan.

Pengemis Soh

Bangsar, Kuala Lumpur