Selain mencemarkan air sungai kegunaan harian lebih 400 penduduk di sini, para petani yang mengerjakan sawah di kawasan itu turut terjejas. Antara kampung yang terlibat dengan masalah ini ialah Kampung Wang Perah, Kampung Bukit dan Kampung Kubang Betong.

SAM kesal walaupun kesan buruk serius telah berlaku sejak 2013 serta beberapa kali bantahan telah dibuat oleh penduduk terlibat namun hingga sekarang tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan bagi menanganinya.

SAM difahamkan masalah di kawasan itu telah berlarutan sejak empat tahun yang lalu dan bimbang jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan, alam sekitar bukan sahaja akan lebih terancam pada masa akan datang bahkan sekitar kawasan ini mungkin ketandusan sumber bekalan air bagi kegunaan penduduk tempatan.

Sungai-sungai lain di daerah Kubang Pasu seperti di Binjai, Temin, Hosba dan Malau mungkin akan tercemar dan mengalami masalah mendapan serta sistem saliran menjadi cetek satu hari nanti.

Hakikatnya, kejadian banjir kilat dan cuaca kering yang berpanjangan boleh berlaku jika aktiviti pembalakan itu diteruskan sekali gus boleh mengakibatkan kemusnahan harta benda.

Selain itu hasil pertanian yang diusahakan oleh penduduk-penduduk di sini seperti dusun buah-buahan, tanaman getah dan padi turut terancam yang akhirnya akan menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Justeru SAM berharap kerajaan Kedah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jabatan dan agensi yang terlibat mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi menangani masalah ini.

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden SAM