Sehubungan itu, baginda menggesa semua rakyat agar tidak melakukan pencemaran terhadap sumber-sumber air serta tidak membazir bagi mengelak catuan bekalan itu terpaksa dilakukan.

Dalam titah itu, baginda telah mengemukakan beberapa syor bagi mengatasi masalah berkenaan termasuk pertama, memulihara sumber-sumber air serta kawasan tadahan dengan memastikan alam sekitar mapan serta kedua, mempelbagaikan bekalan air dengan meneroka sumber-sumber alternatif.

Selaras dengan cadangan yang pertama, saya berharap dihentikan segera kegiatan pembalakan di seluruh negara termasuk di Ulu Muda, Sik, Kedah, dan Gua Musang, Kelantan, yang telah mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Kerajaan harus membatalkan sasaran pendapatan eksport sebanyak RM53 bilion bagi kayu dan produk kayu menjelang 2020.

Sasaran itu adalah dua kali ganda lebih banyak berbanding eksport kayu dan produk kayu Malaysia sebanyak RM20.5 bilion pada 2014.

Berbaloikah sasaran itu ditetapkan jika hutan yang menjadi kawasan tadahan air tidak lagi wujud di negara ini?

Saya juga ingin tahu apa sudah jadi dengan memorandum oleh beberapa persatuan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2015 agar lesen konsesi pembalakan dibekukan selama 10 tahun.

Cadangan itu dibuat ekoran kejadian tanah runtuh dan banjir di Cameron Highlands, Pahang, pada tahun berkenaan dan satu lagi adalah fenomena ‘bah kuning’ yang melanda Kelantan pada Disember 2014 dengan kawasan paling teruk terjejas adalah Kuala Krai, Gua Musang dan Kota Bharu.

Kenapakah banyak cadangan lain dalam memorandum itu tidak dilaksanakan seperti mewajibkan syarikat konsesi menanam semula pokok baharu bagi menggantikan balak yang ditebang?

Cadangan lain adalah memberhentikan penukaran status hutan kepada ladang bagi memastikan 45 peratus muka bumi Semenanjung Malaysia yang masih diliputi hutan tidak digondolkan.

Berkaitan cadangan kedua supaya dipelbagaikan bekalan air dengan meneroka sumber-sumber alternatif.

Antara sumber alternatif yang wajar diteroka adalah menggalakkan rakyat menggunakan air hujan.

Semua premis perlu menyediakan tangki bagi mengumpul air hujan yang kemudiannya disalurkan melalui saluran paip berasingan untuk digunakan bagi mengepam jamban, mandi, membasuh baju dan peralatan memasak.

Air hujan juga boleh disimpan dalam tangki khas untuk digunakan ketika kecemasan seperti memadam kebakaran.

Rakyat tidak harus bimbang untuk menggunakan air hujan kerana mempunyai pelbagai kebaikan termasuk tidak memerlukan sabun yang banyak untuk membasuh pakaian, rasa lebih sedap dan tidak menghakis barangan logam.

Alternatif lain adalah merawat sisa air kumbahan untuk diguna semula dalam sektor industri dan menyiram pokok bunga serta padang golf.

Loji penyahgaraman air laut juga harus dibina di Malaysia. Persepsi salah bahawa kemudahan itu memerlukan sumber tenaga elektrik banyak dan kos pembinaan serta penyelenggaraan yang tinggi harus dibuang.

Ini kerana terdapat banyak teknologi baharu yang lebih murah telah diperkenalkan. Antaranya penggunaan kuasa magnet bagi memisahkan garam daripada air laut dan operasi loji menggunakan elektrik daripada kincir angin.

PUTERI GUNUNG LEDANG

Johor