Ada juga yang berkongsi pengalaman, kejayaan dan kisah hidup bersama orang ramai di laman sosial masing-masing. Sifat ini kebiasaannya akan disusuli tindakan untuk menyebar dan menghebahkan sesuatu berita akibat teruja untuk berkongsi perasaan yang sama.

Tidak dinafikan manusia sangat gemar dan teruja untuk mengetahui dan menyebarkan sesuatu berita tanpa berfikir panjang akan kesannya.

Terbaharu, anak seorang pelakon wanita terkenal menjadi mangsa buli siber oleh individu tidak bertanggungjawab. Bukan itu sahaja, beberapa tahun lalu satu kes pernah dilaporkan dalam akhbar mengenai seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah di Johor cuba membunuh diri selepas tidak tahan menjadi mangsa buli kenalan Facebook yang mahu menyebarkan gambar lucah mangsa dalam media sosial.

Teknologi hari ini terutamanya media sosial terlalu banyak menularkan berita atau video yang belum tentu sahih oleh tangan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bukan sahaja tular, malah mengecam dan mengaibkan individu tersebut. Keadaan ini akan menyebabkan banyak perkara boleh berlaku termasuk perkara yang boleh meragut nyawa mangsa.

Menurut Pusat Bantuan Cyber999, 62 kes dilaporkan pada 2012 berbanding 410 kes pada 2013, 2014 (374 kes), 2015 (319), 2016 (344) dan 2017 (228) pada suku ketiga tahun tersebut. Jumlah keseluruhan dalam tempoh enam tahun tersebut ialah sebanyak 1,737 kes.

Kes buli siber ini banyak membabitkan golongan remaja yang berusia 19 hingga 25 tahun. Jelas dalam hal ini, buli siber acap kali menyaksikan mangsa dimalukan dan dikecam.

Kajian mendapati hampir 300 kes buli siber yang membabitkan remaja dalam masa setahun. Hal ini kerana remaja lebih kerap menggunakan media sosial setiap hari berbanding golongan berusia.

Jenayah buli siber ini haruslah dipandang secara serius kerana ia boleh menyebabkan gangguan emosi serta rasa rendah diri dan berisiko membawa kepada masalah gangguan mental terhadap mangsa.

Dalam hal ini, pengguna media sosial harus menanam sikap bertanggungjawab serta bertimbang rasa dalam menyebarkan sesuatu berita dan maklumat. Jangan jadikan media sosial sebagai satu platform untuk menyerang dan mengaibkan seseorang hanya kerana rasa tidak puas hati.

Hukuman berat wajar dikenakan kerana jenayah ini bukan sahaja mendera emosi mangsa malah akan mendorong mangsa bertindak membunuh diri. Sedarlah bahawasanya, jenayah ini pasti akan berulang jika kita menganggap isu ini secara sambil lewa. Ini kerana penderaan emosi dan mental lebih sakit berbanding penderaan fizikal.

SYAHIDATUL 
NUR ASYIQIN HELMI

Bandar Baru Nilai