Pampasan itu amat menggembirakan ibu tunggal empat anak, Habesah Daud, 47, selepas kematian insan tersayang lebih enam tahun lalu.

‘Durian runtuh’ RM140,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu berupa tunggakan faedah caruman dibuat suaminya, Allahyarham Ismail Mat Yassin yang meninggal dunia akibat kanser darah.

Habesah baharu sahaja menyedari layak menerima faedah berkenaan termasuk pencen penakat RM1,800 sebulan seumur hidup.

Manakala dua anaknya berumur 15 dan 18 tahun bakal menikmati faedah caruman hingga tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda kelak.

Ibu tunggal itu cuma mengetahui mengenai faedah caruman Perkeso setelah salah seorang anaknya mendaftar dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Itupun setelah pegawai KWSP terlibat meminta anak Habesah menyemak dengan Perkeso mengenai pencen penakat ayahnya.

Bagi saya, RM140,000 bukan satu nilai tinggi dalam hidup sekarang. Ini kerana, nilai yang amat besar buat keluarga itu ialah pencen penakat RM1,800 sebulan sesudah kematian suaminya enam tahun lalu.

Enam tahun lalu, RM1,800 sebulan adalah satu nilai amat mustahak untuk menyara empat anak.
 Selepas berita itu disiarkan, kesimpulan kepada maklum balas itu ialah kononnya Perkeso tidak dapat bertindak segera kerana tidak dimaklumkan mengenai kejadian sama ada oleh pihak majikan atau pewaris pencarum.

Persoalannya, adakah budaya Perkeso terus membiarkan fail pencarum yang tidak dituntut sehingga tertunggak enam tahun?

Mungkin Perkeso wajar hentikan budaya menuding kesalahan kepada pihak lain.

Jangan sesekali lupa bahawa apabila anda menuding jari telunjuk, tiga lagi jari iaitu jari hantu, jari manis dan jari kelingking menghala kepada diri sendiri.

PENGGEMAR BERSIH, 
CEKAP, AMANAH