Kes itu mendapat perhatian masyarakat selepas mangsa yang dibuli dan dibelasah sekumpul­an remaja menggunakan topi keledar di sebuah pusat pendidikan swasta meninggal dunia selepas hampir seminggu tidak sedarkan diri di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Selain parah dibelasah, dubur mangsa juga ditusuk dengan objek tumpul kerana enggan menyertai kumpulan gengster yang dianggotai suspek.

Kes seperti itu bukan kali pertama berlaku dan perkara itu terbukti menerusi Laporan Khas Mingguan Malaysia semalam yang mendedahkan kejadian buli yang turut berpunca daripada gejala gengsterisme berlaku setiap 25 minit dalam bilik darjah dan bermula di minggu keenam persekolahan.

Nampaknya gejala gengsterisme melibatkan remaja semakin menjadi-jadi. Banyak faktor yang mempengaruhi merebaknya gejala itu termasuk penerbitan filem yang memaparkan kumpulan samseng.

Cukup menyedihkan filem sedemikian menjadi pilihan sebuah stesen televisyen swasta untuk disiarkan dalam slot tayangan perdana sempena Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.

Memang bukan filem sahaja menyumbang kepada merebaknya budaya gengster dalam kalangan remaja tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa filem adalah salah satu faktor utama yang menarik minat golongan muda untuk menjadi ahli kumpulan samseng.

Penghasilan filem gengster sedikit sebanyak menimbulkan ‘minat’ kepada remaja untuk menyertai kumpulan samseng berkenaan. Mereka tahu gaya dan cara hidup gengster melalui filem.

Pengarah pula sudah pasti berusaha sedaya upaya menjadikan filem diarahkan mereka benar-benar menggambarkan suasana sebenar yang berlaku di luar. Mereka akan membuat kajian mendalam untuk menjadikan filem mereka dikagumi dan benar-benar hidup.

Jadi apa yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon dalam filem gengster itu memang serupa atau sekurang-kurangnya hampir sama dengan yang berlaku dalam dunia sebenar.

Daripada filem yang mereka tonton, remaja akan meniru dan menggayakan semula dalam kehidupan seharian mereka.

Filem menyebabkan sesuatu pengetahuan sampai kepada masyarakat secara massa atau besar-besaran.

Sekiranya sesuatu filem itu disiarkan saluran televisyen dan ditonton oleh dua juta penonton maka bilangan rakyat yang cukup ramai telah mendapat mesej ingin disampaikan. Melalui filem, orang yang tidak tahu pun jadi tahu dan yang tidak minat pun akan berminat.

Pasti penerbit akan menyatakan walaupun mereka membuat filem memaparkan aktiviti negatif tetapi jalan cerita bertujuan memberi pengajaran bahawa setiap perbuatan buruk akan mendapat balasan setimpal.

Saya meragui teknik itu memberikan kesan positif kepada penonton kerana terdapat kemungkinan orang ramai lebih tertarik untuk meniru gaya gengster dan bukannya mengambil pengajaran daripada filem berkenaan.

Oleh itu, hentikan pembikinan filem gengster. Stesen televisyen juga tidak perlulah mengulang tayang filem sedemikian.

Bagi penulis, adalah lebih baik penerbit memperbanyakkan filem yang boleh menyemai semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Contohilah penerbit di Indonesia yang cukup aktif menghasilkan filem-filem bercorak sedemikian lebih-lebih lagi menjelang hari kemerdekaan.

Kalau susah sangat nak menghasilkan filem patriotik, buat sahaja filem cinta. Sekurang-kurangnya mesej yang ingin disampaikan menjurus kepada sifat kasih sayang dan bukan budaya ganas.

 

NASSRUL HAKIM MD. JANI

Melaka