Menurut beliau, masa pemerintahan kerajaan baharu telah melebihi enam bulan dan tumpuan perlu diberikan dari segi pelaksanaan. Rakyat tahu apa yang terjadi, sebab itu mereka mengundi untuk menyingkirkan kerajaan sebelum ini.

Kini sudah lebih enam bulan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan rakyat sudah mula bosan dengan alasan demi alasan bagi menyalahkan kerajaan lama apabila janji tidak ditepati. Contohnya, tidak menunaikan janji memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) maka Barisan Nasional (BN) dipersalahkan. Tidak mampu menurunkan harga barang dan kos kehidupan, maka jalan mudah adalah menyalahkan kerajaan lama. Cukuplah dan jangan sampai rakyat bosan.

Masa berjalan begitu pantas. Dalam tempoh 12 bulan pertama kerajaan PH seharusnya menampilkan sesuatu yang baharu, contohnya kad laporan pencapaian menteri-menteri harus diperkenalkan. Menteri yang hanya pandai bercakap dan tidak mampu mengendalikan kementerian dengan baik perlu dihukum potong gaji atau diganti dengan individu lain yang lebih layak. Begitu juga dengan lantikan politik dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Bukan untuk menutup kes lama rompakan dan penyelewengan. Mereka yang bersalah wajib dihukum dan harta rompakan harus dikembalikan namun rakyat juga ingin melihat perubahan bukan hanya retorik dan alasan. Sehingga hari ini, banyak keluhan dalam kehidupan rakyat sehingga menyingkirkan BN masih belum terjawab.

Satu lagi, keghairahan mendedahkan dokumen perjanjian harus dikawal. Menteri harus mentadbir dan bukan terperangkap dengan mentaliti pembangkang untuk membuat pendedahan demi pendedahan yang tidak perlu sehingga menjejaskan kemasukan pelaburan asing.

CHE’GUBARD

Pengasas Solidariti Anak Muda 
Malaysia (SAMM)