Kebiasaannya, pensyarah mengusulkan buku-buku tertentu untuk dibeli oleh pelajar sebagai rujukan dalam kuliah. Namun, harganya agak mahal. Maka sudah tentulah para pelajar akan ada perasaan ‘tersepit’ antara dua pilihan, mahu membeli dan memiliki buku rujukan asli atau terus berjimat-cermat dalam penggunaan wang ringgit.

Dalam perspektif ekonomi, isu ini berkait dengan teori kos melepas di mana pelajar akan cenderung memilih untuk membuat fotokopi lantaran rasa tidak mampu untuk membeli.

Begitu pun, para pelajar harus memahami bahawa buku rujukan yang disalin itu adalah satu usaha jangka panjang oleh penulis karya akademik tersebut.

Ia terhasil daripada pengetahuan, pengalaman dan kajian secara mutlak oleh penulis yang telah menghabiskan banyak masa, titik peluh dan buah fikiran untuk dikongsi oleh masyarakat khususnya mereka yang mempelajari bidang ilmu sama.

Tidakkah para pelajar terfikir bahawa hasil ilmiah ini secara perundangan mempunyai nilai hak milik yang absah kepada penulisnya? Seterusnya, apakah tidak disedari bahawa penulis-penulis buku ini layak untuk menerima ganjaran daripada hasil titik peluh mereka sendiri?

Begitu juga hak syarikat percetakan yang telah bertungkus-lumus menjual buku-buku ini. Untuk itu, apabila hasil ilmiah ini disalin sewenang-wenangnya, ia adalah satu bentuk rompakan terhormat kepada hak milik penulis asal.

Ini adalah satu gejala tidak beretika yang sungguh berleluasa dalam arena keilmuan yang cukup mulia iaitu IPT.

Bukan sahaja satu kesalahan undang-undang, dalam Islam sendiri bercanggah dengan syariat apabila hasil karya ilmiah dicetak semula tanpa keizinan penulis dan syarikat percetakan yang merupakan ‘tuan punya’.

Untuk itu, semua pihak harus bertindak dan bertanggungjawab dalam mencari jalan penyelesaian bagi membendung masalah fotokopi ini daripada terus berleluasa.

Antara alternatif yang ingin dicadangkan penulis adalah pertama, semua pihak terutama pelajar IPT harus faham dan hadam dengan perkiraan hukum dari perspektif Islam.

Kedua, meminta keizinan daripada penulis dan syarikat penerbitan buku untuk membuat salinan.

Ketiga, IPT menambah kuantiti buku-buku rujukan di perpustakaan masing-masing supaya ia dapat dipinjam dan dijadikan rujukan sepanjang pengajian.

Keempat, pelajar harus kreatif menggunakan sumber di internet dalam mencari buku-buku rujukan berbentuk elektronik.

Kelima, pensyarah harus tegas dalam memastikan gejala fotokopi tidak terus berleluasa dengan memberikan nasihat sewajarnya kepada pelajar.

DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
Universiti Sains Islam Malaysia