Ada yang mahu menghalalkan membela anjing, mengajak membuka tudung kononnya tidak dinyatakan dalam al-Quran, menuntut pasangan Islam yang bersekedudukan atau mengamalkan seks bebas tidak diganggu dan banyak lagi.

Sebenarnya semua perbalahan hukum-hakam agama Islam ini hanya timbul susulan perkembangan media sosial yang membolehkan semua orang mengemukakan pendapat, pegangan dan hujah peribadi masing-masing.

Masalahnya bukan disebabkan wujud kekeliruan atau ketetapan yang kabur sebaliknya berpunca daripada kebanjiran ‘pandangan peribadi’ daripada golongan yang tidak layak mengemukakan hujah.

Sepatutnya hanya golongan ulama dan ilmuwan Islam yang layak membincangkan isu-isu berbangkit secara tertutup, bukannya dipersoal secara terbuka oleh orang awam mahupun ‘pakar’ bidang-bidang lain sama ada sains, perundangan, pendidikan, politik termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

Apabila mereka yang ‘tidak layak’ ini mengeluarkan ‘fatwa’ dalam media sosial, maka timbullah kekeliruan dalam masyarakat umum sedangkan semua ketetapan itu sudah begitu lama dilaksanakan di negara ini.

Oleh itu, saya harap pihak berkuasa lebih bertegas menghalang komen-komen daripada mereka yang tidak layak ini sementara orang awam yang bukannya tahap ulama atau ilmuwan Islam tidak perlu membincangkan hal agama kita secara terbuka sehinggakan orang bukan Islam pun boleh mencelah.

HAJI MAN
Segambut, Kuala Lumpur