Mudahnya memberi alasan itu dan ini, saham jatuh berbilion ringgit, aset susut nilai berbilion ringgit, duit berbilion ringgit hilang baru perasan selepas lebih tiga bulan pegang jawatan tetapi akhirnya yang salah cuma kerajaan dan Perdana Menteri terdahulu.

Sampai bila menteri-menteri mahu guna pendekatan dan mentaliti pembangkang seperti dahulu? Sudah ramai menegur dan mengingatkan mereka sekarang sudah jadi kerajaan, bukan lagi masa mencari salah tetapi mencari penyelesaian.

Kasihan saya melihat Tun Dr. Mahathir Mohamad pada usia 93 tahun masih perlu ‘memimpin tangan’ menteri-menteri setahun jagung yang gagal menyesuaikan diri dengan kedudukan baharu mereka.

Takkanlah semuanya harap Perdana Menteri tengokkan? Apa guna jadi menteri dan timbalan menteri jika tiada inisiatif sendiri untuk mentadbir dan menguruskan keperluan rakyat?

Jika tidak tahu sangat, panggil orang kementerian yang mahir dan berpengalaman atau paling tidak panggil bekas menteri beri penjelasan di pejabat secara bersemuka, bukannya buka pekung di dada sehingga menjadi bahan ketawa seluruh dunia.

Guan Eng contohnya seperti tidak sedar Datuk Seri Najib Tun Razak sudah ‘dijatuhkan’, masih lagi menghentam dan cuba menuduh bekas Perdana Menteri itu dengan bermacam tuduhan melulu tanpa membuat laporan dan mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa.

UMNO juga bukan lagi berkuasa, tetapi diserang tanpa henti seolah-olah sedang berkempen menjelang pilihan raya. Ada juga mendakwa anggota Kabinet cuma menggunakan kerajaan terdahulu sebagai kambing hitam untuk menutup kelemahan sendiri.

Apa pun tujuan anggota kerajaan berlagak sebagai pembangkang, sudah sampai masanya mereka berubah dan tampilkan ketokohan sebagai pemimpin jika mahu kekal berkuasa dalam pilihan raya akan datang.

Rakyat dah muak berpolitik tanpa henti sejak 2008, lihat sahaja jumlah yang keluar mengundi dalam pilihan raya kecil baru-baru ini. Sekarang bukan masa retorik politik lagi tetapi masa untuk bekerja.

 

DG54

Kuala Lumpur