Tema itu juga bertujuan memberi peringatan kepada seluruh rakyat bahawa cukup sukar untuk mempertahankan kemerdekaan yang telah dicapai sekiranya rakyat berpecah-belah.

Antara perkara yang akan menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini adalah sifat mencintai tanah air. Sifat itu bermaksud mempunyai semangat patriotik mendalam dalam jiwa yang kemudiannya diterjemahkan melalui tindakan.

Oleh itu, seluruh rakyat harus memupuk sifat itu dalam diri masing-masing dan pada masa sama perlu meluahkan perasaan sayang mereka dalam bentuk kata-kata, perbuatan dan penulisan termasuk dengan menggunakan sepenuhnya kemudahan media sosial.

Ada seorang pujangga pernah menyebut bahawa kita wajar mencintai negara kerana kita lahir di sini dan kemudian mati di sini. Begitulah juga kata-kata diungkapkan oleh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee “Berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa” demi kecintaan kepada negara.

Perasaan mencintai negara tidak harus diluahkan hanya menjelang ulang tahun tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos sebaliknya perlu diungkapkan sepanjang masa.

Bagi memperkukuhkan semangat cintakan negara, sifat itu perlulah dipupuk sejak peringkat prasekolah melalui penganjuran pelbagai program yang diadakan secara berterusan sehingga peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

Pelbagai acara boleh dianjurkan termasuk mengibarkan Jalur Gemilang serta menyanyikan lagu patriotik.

Golongan artis yang mempunyai pengikut ramai dan menjadi idola golongan muda perlu mencontohi penyanyi, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang mempunyai semangat cinta terhadap Malaysia yang cukup mendalam.

Beliau menterjemahkan perasaan itu melalui nyanyian lagu-lagu patriotik dan cara berpakaian.

Semangat cinta kepada negara seperti ini amat jarang kita temui dalam kalangan artis dan orang awam sekarang. Banyak dalam kalangan kita tidak lagi mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan. Tidak dapat dipastikan sama ada mereka lupa, rasa malu atau buat-buat lupa.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017, marilah kita sama-sama meluahkan perasaan cinta kepada negara melalui kata-kata, sajak, nyanyian dan penulisan yang menghimbau sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

Bagi generasi muda, mengetahui sejarah negara adalah amat penting. Sejarah adalah fakta yang tidak boleh diubah.

Ingatlah, untuk memastikan kemerdekaan dapat dipertahankan kita perlu terus memupuk sifat cinta kepada negara.

Rakyat yang mempunyai semangat itu tidak akan melakukan sebarang tindakan yang akan memecahbelahkan perpaduan penduduk berbilang kaum.

DR. AMINUDIN MANSOR

Subang Jaya, Selangor