Puasa dapat memberi manfaat dari segi mental dan fizikal kita. Antara manfaat yang diperoleh melalui ibadah puasa adalah melatih diri bagi menghadapi pelbagai masalah seperti jihad nafsu, melawan gangguan syaitan dan bersabar atas pelbagai ujian dan dugaan.

Justeru itu, Allah SWT mengarahkan supaya kita berpuasa sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 183: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”.

Intipati daripada ayat tersebut menerangkan bahawa Allah SWT mewajibkan berpuasa kepada hamba-hamba-Nya yang beriman sepertimana umat-umat yang beragama terdahulu.

Terdapat banyak hikmah daripada berpuasa iaitu dapat mempersiapkan jiwa untuk meraih ketakwaan yang lebih tinggi dan meninggalkan nafsu keinginan demi mematuhi perintah Allah serta mengejar pahala yang dilipat gandakan pada bulan Ramadan dengan melakukan ibadah fardu mahupun sunat.

Dalam bulan Ramadan juga, Allah memberikan tawaran pengampunan kepada dosa-dosa yang lalu sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa mengerjakan puasa pada bulan Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu.”

Ibadah puasa bukanlah sesuatu yang perkara yang membebankan untuk kita. Allah telah mensyariatkan kelonggaran bagi orang yang sakit di dalam berpuasa agar tidak mendatang mudarat baginya begitu juga orang yang bermusafir.

Mereka akan dibenarkan berbuka atau tidak berpuasa atas kesukaran yang mereka hadapi. Ini menunjukkan betapa Islam agama yang mudah.

Dari sudut sains, amalan berpuasa bagus untuk kesihatan tubuh badan. Pasti ada segelintir masyarakat yang bukan Islam di luar sana mengamalkan aktiviti berpuasa untuk tujuan kesihatan mereka.

Para penyelidik perubatan telah membuktikan bahawa puasa dapat menghilangkan toksin dan racun dari dalam badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi bagi melawan penyakit.

Menurut Dr. Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika Syarikat, puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.

Banyak kejayaan beliau dalam mengubati pesakitnya dengan menganjurkan mereka agar berpuasa sebagai alternatif kepada ubat-ubatan moden.

NUR AMELINA 
MOHD. WALILAH