Diharap jangan jadikan pesta makanan hingga penuh lauk-pauk di meja setiap kali berbuka yang akhirnya bukan sahaja boleh membawa pembaziran malah menjejaskan pendapatan bulanan kita yang sepatutnya berjimat cermat.

Anehnya pula setiap kali tiba bulan puasa, harga barang-barang makanan seperti ikan, udang, sotong dan ketam akan naik mendadak, begitu juga santan dan bahan makanan lain. Ubahlah sikap kita yang suka membazir ini.

Kalau kita pernah pergi mengerjakan umrah dalam bulan Ramadan di Mekah dan Madinah, jika diperhatikan jemaah berpusu-pusu memenuhi masjid sebelum berbuka dan tidak akan balik ke penginapan masing-masing tetapi terus sahaja solat maghrib dan isyak diikuti sunat tarawih.

Kenapa tidak amalan seperti itu dihayati dan diterapkan budaya sedemikian apabila balik ke Malaysia? Kita selalunya solat di rumah dan berbuka puasa di rumah sahaja menyebabkan masjid lenggang.

Itulah apa yang dimaksud­kan berakah apabila solat di Masjidilharam atau di Masjid Nabawi apabila kita berbuka dengan beberapa biji buah kurma dan minum susu segar serta air zam-zam yang telah disediakan itu yang mudah untuk mengenyangkan perut dan mudah pula berasa ringan untuk beribadah. Itulah juadah sepanjang bulan Ramadan.

Hayatilah roh Ramadan dengan rasa insaf dan utamakan amalan serta jaga lima pancaindera kita agar puasa kita mendapat ganjaran dan diterima oleh Allah SWT serta dijauhi sifat-sifat sombong, bakhil dan jagalah akhlak kita.

Puasa sebenarnya untuk mendidik roh dan jasad kita menjadikan iman kita bertambah teguh dan merasakan keinsafan betapa kerdilnya kita disisi Allah SWT dan bukannya berpesta memuaskan nafsu untuk menjamu makanan yang lazat sahaja.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Ampangan, Seremban.