Penulis turut mendakwa banyak tikus berkeliaran di dalam dan kawasan sekitar restoran berkenaan.

Pada zaman sekarang apabila mana-mana pihak bercakap mengenai India Muslim atau mamak memang lazimnya dikaitkan dengan restoran nasi kandar dan warung kopi. Ramai tidak merujuk kepada sejarah penglibatan golongan berkenaan dalam pembangunan dan pemerintahan Malaysia.

Sejak masyarakat itu menetap di Tanah Melayu, mereka seperti kaum lain telah merasai zaman susah dan senang. Mereka telah banyak menyumbang terutama dalam bidang perdagangan dan perniagaan.

Selain itu, masyarakat India Muslim telah melahirkan tokoh bahasa yang hebat seperti Munsyi Abdullah yang menetap di Melaka pada zaman penjajahan Inggeris.

Ada juga dalam kalangan golongan itu yang berkecimpung dan mencatatkan kejayaan dalam pelbagai bidang lain seperti penyanyi dan komposer tersohor, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur dan bekas Ketua Menteri Sabah.

Malaysia adalah sebuah negara unik yang berlatarbelakangkan masyarakat berbilang kaum dan agama. Kepelbagaian semacam inilah yang mencerminkan aspek keindahan Malaysia yang seharusnya diraikan sesama kita dengan sikap berlapang dada dan perasaan muhibah.

Masyarakat India Muslim telah berhijrah dari selatan India pada awal abad ke-10 dan kebanyakannya menetap di Semenanjung Malaysia. Sejak dari awal lagi golongan itu telah menjadi tulang belakang untuk memajukan ekonomi Tanah Melayu.

Dalam sejarah Malaysia, banyak masyarakat India Muslim yang berjaya dalam perniagaan. Antara syarikat dan jenama dikenali ramai adalah Darul Ehsan Property, Kayu Nasi Kandar, Pelita Samudera, Habib Jewel, Kumpulan Syed, Pasar Raya Mydin, Saudagar-Saudagar Kertas, Percetakan Zafar dan Kumpulan Barkath.

Rahsia kejayaan golongan itu dalam perniagaan sering menjadi tanda tanya dan selalu wujud pelbagai persepsi salah walaupun masyarakat India Muslim telah memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara. Sebenarnya, budaya perniagaan golongan itu tidak hanya tertumpu pada ringgit dan sen semata-mata.

Budaya niaga yang menjadi warisan keluarga adalah berasaskan kepada pelbagai strategi yang telah terbukti berjaya mengekalkan perniagaan dalam apa jua situasi. Budaya itu mempunyai teras yang kuat dan lebih mahal nilainya berbanding mencari keuntungan semata-mata.

India Muslim ini adalah masyarakat unik apabila mampu menjadi jambatan untuk mengeratkan hubungan silaturahim rakyat berbilang kaum di Malaysia. Golongan itu tidaklah seperti didakwa sesetengah pihak sebagai suka mencekik darah.

Cuma yang dikesalkan adalah setelah sekian lama kami menetap di sini, masyarakat India Muslim masih disindir di negara bertuah ini walaupun kami seagama dan mengamalkan budaya sama dengan orang Melayu.

Kami merayu kepada semua pihak supaya tidak memfitnah masyarakat India Muslim dengan berita tidak betul. Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al Hujurat:6).

AYOOB KHAN MUHAMAD YAKUB

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma)