Ramai warga pencen tidak dapat maklumat dan tidak pun mengetahui perkembangan semasa, misalannya adakah kenaikan pencen sebanyak dua peratus yang diberikan selama ini setiap tahun dikekalkan lagi ataupun sudah dimansuhkan.

Bagaimana pula dengan bayaran pencen yang tidak lagi mengikut kaedah semasa, umpamanya mereka yang telah berpencen pada 2000 menerima pencennya sebanyak RM1,000 kerana pada ketika itu mengikut kaedah penyelarasan pencen adalah sebanyak 50 peratus daripada gaji maksimum sebanyak RM2,000.

Tetapi apabila ada kenaikan gaji maksimum untuk kakitangan diberikan sebanyak RM4,000 pada 2016 umpamanya, mengapakah pencen yang diterima oleh pesara terdahulu tidak dapat kenaikan mengikut perkembangan semasa dan masih menerima ganjaran lama?

Diharap kerajaan mengambil perhatian kepada golongan pesara kerana kos sara hidup yang kian tinggi kini terpaksa ditanggung oleh kami dan ia perlu diseimbangkan seiring dengan peredaran zaman.

Pesara-pesara kerajaan hari ini terpaksa bekerja kembali sebagai pengawal keselamatan atau membuat kerja-kerja sambilan bagi menampung keperluan kehidupan seharian seperti membayar baki hutang perumahan atau memenuhi keperluan anak-anak yang masih bersekolah.

Jangan sisihkan para pesara tanpa pembelaan. Golongan ini sepatutnya menikmati sisa kehidupan yang lebih tenang, bukannya terpaksa bekerja lagi.

PESARA KERAJAAN

Negeri Sembilan