SUDAH 59 tahun rakyat pelbagai bangsa ‘berteduh’ di bumi Malaysia. Sepatutnya, seiring usia yang memasuki ‘warga emas’, sikap toleransi kita sudah matang untuk membentuk perpaduan kaum yang dapat mengukuhkan kesejahteraan dan menjana keseimbangan negara.

Persefahaman, toleransi dan sifat kasih sayang adalah kunci utama kepada perpaduan. Meskipun kedengaran ideal, namun diakui sukar untuk menyatukan pelbagai kaum di dalam satu ‘rumpun’ demi mewujudkan keharmonian. Namun, ketekunan pemimpin terdahulu menyatukan semua kaum di negara ini ternyata berhasil biarpun pengorbanan dipikul sangat besar.

Tentunya kita ingat peristiwa 13 Mei 1969, dan kejadian itu perlu dijadikan peringatan dan iktibar oleh semua kaum.

Hidup di dalam sebuah negara berbilang kaum bukan sesuatu yang mustahil kerana rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa keharmonian antara kaum boleh dicapai seandainya kita benar-benar menginginkannya. ‘Tembok’ bahasa dan budaya juga tidak sepatutnya dijadikan penghalang untuk rakyat menyemai semangat perpaduan.

Meskipun keamanan yang dikecapi pada hari ini adalah rentetan daripada perjuangan nenek moyang kita yang berpenat-lelah berjuang demi sebuah kebebasan namun kita juga bertanggungjawab untuk mengekalkan keamanan ini demi generasi akan datang. Justeru marilah kita bersama-sama hapuskan persengketaan dan buang jauh-jauh perbezaan antara kaum.

NOOR ADILLA CHE ALEK

UIAM