Dasar itu tidak menggambarkan situasi sebenar isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang tidak mampu membeli kediaman berharga lebih dari RM100,000 sebuah.

Kegagalan kerajaan baharu untuk menaikkan gaji minimum yang setimpal terhadap golongan pekerja menyebabkan had harga rumah mampu milik adalah rendah.

Bank Negara Malaysia pada Ogos tahun lalu ada menyatakan harga rumah yang dibeli sepatutnya tidak melebihi tiga kali pendapatan purata tahunan.

Maka jika diambil kira gaji minimum sekarang adalah RM1,100 sebulan, maka jumlah gaji dalam setahun adalah (RM1,100 x 12) iaitu bersamaan RM13,200. Jumlah pendapatan untuk tiga tahun hanya RM39,600.

Mengikut kajian pendapatan rakyat Malaysia oleh Jabatan Perangkaan, nilai penengah (median) gaji dan upah bulanan pada 2017 adalah RM2,160 manakala purata gaji dan upah adalah RM2,880.

Jika diambil kira gaji purata RM2,880, maka harga rumah yang mampu dibeli adalah RM2,880 x 12 x 3, iaitu RM103,680.

Maka secara rasionalnya, harga rumah mampu milik seharusnya antara RM39,000 hingga RM 100,000 dan bukannya RM90,000 hingga RM300,000.

Kerajaan perlu ingat bahawa rumah adalah hak yang perlu diperoleh setiap rakyat dan bukannya komoditi yang boleh dijual untuk meraih keuntungan berdasarkan permintaan dan penawaran pasaran.

Apabila pandangan pihak pemaju diambil kira dalam menentukan harga rumah, maka akan timbul persoalan adakah penetapan harga rumah adalah berdasarkan faktor keuntungan semata-mata?

Jika dibiarkan faktor pasaran mempengaruhi harga rumah sepertimana yang diminta oleh pihak pemaju, maka harga rumah yang dijual tidak akan mampu dimiliki oleh golongan B40.

Oleh itu, sudah sampai masanya DPMM disemak semula dengan menetapkan harga rumah mampu milik adalah di bawah RM100,000 sebuah.

Untuk mencapai sasaran harga tersebut, kerajaan perlu mengambil apa sahaja langkah untuk mengurangkan kos pembinaan kediaman jenis itu.

KARTIK
Penyelaras Biro Perumahan, Parti Sosialis Malaysia (PSM)