BARU-baru ini saya dimaklumkan oleh seorang pekedai runcit yang harga beberapa barangan bukan kawalan kerajaan akan naik selepas Tahun Baharu Cina ini. Dia berkata demikian selepas diberitahu oleh pihak pembekal.

Kata pekedai ini antara harga barang yang dijangka naik adalah barang keperluan harian, bahan makanan yang bukan dikawal oleh kerajaan serta alat-alat tulis. Katanya lagi kepada saya, jika itu yang berlaku mahu tidak mahu pihak peruncit terpaksa menaikkan juga harga barang-barang terlibat kerana kos di peringkat pembekal semakin mahal.

Sambil mengakui orang ramai akan terus dibebani dengan isu kenaikan barang, dia mengakui peruncit tidak ada banyak pilihan kerana mereka juga terpaksa mendapatkan bekalan daripada pembekal dengan harga lebih tinggi.

Sama ada benar atau tidak saya tidak pasti tetapi secara peribadi saya percaya keadaan itu akan berlaku memandangkan ada harga barang-barang yang dinaikkan pada masa ini tanpa kita sedari antaranya seperti minuman dalam tin.

Saya juga pernah diberitahu oleh rakan-rakan lain melalui pengalaman masing-masing iaitu harga barangan yang dijual di pasar raya besar juga dikatakan semakin meningkat berbanding sebelum ini.

Persoalannya, adakah pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedar akan perkembangan yang akan berlaku itu. Namun saya ada juga terfikir mungkin terdapat kesukaran untuk mengambil tindakan oleh kementerian terbabit kerana kebanyakan barangan yang terlibat dengan kenaikan harga itu bukannya barangan yang dikawal oleh pihak kerajaan.

Berbanding barang-barang yang dikawal kerajaan, pihak kementerian mempunyai mekanisme untuk memastikan kesemua barangan tersebut tidak boleh dijual melebihi harga siling yang ditetapkan. Sebagai contoh 22 barang yang diisytiharkan sebagai barang kawalan di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dinyatakan dalam Jadual 1 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Antaranya gula, susu, garam, tepung gandum, minyak masak, petrol, diesel, minyak tanah, ikan yang disedia atau diawet dalam bekas kedap udara, beras dari semua jenis (Sabah sahaja), padi (Sabah sahaja), diesel, gas petroleum cecair (LPG), roti dan ayam.

KPDNKK turut melaksanakan skim kawalan harga musim perayaan setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan perayaan lain. Semalam, KPDNKK memulakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2016.

Seperti saya nyatakan tadi, barang kawalan tiada masalah tetapi isunya sekarang adalah kenaikan harga barangan bukan kawalan. Bagaimana kerajaan mahu mengawal harga barang seperti kertas, alat-alat tulis, buku, air dalam tin, air kotak, sabun, ubat gigi, bijirin serta pelbagai keperluan harian yang lain.

Saya yakin KPDNKK mempunyai kuasa-kuasa tertentu untuk mengekang kenaikan barang berdasarkan undang-undang sedia ada walaupun bukannya dalam kategori barangan kawalan. Mereka lebih mahir dalam perkara ini.

Cuma yang timbul persoalan adalah operasi penguatkuasaan oleh KPDNKK. Adakah dilakukan secara menyeluruh dan berterusan atau hanya sekadar bermusim? Sebagai seorang pengguna saya amat berharap pihak penguat kuasa KPDNKK memperbanyakkan lagi operasi tanpa mengira waktu dalam usaha memburu peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.

Kasihanilah orang bawahan seperti kami yang sering menjadi mangsa akibat kenaikan harga barang ini. Apabila harga barang naik kos kehidupan kami juga naik.

Pada awal bulan ini pihak kerajaan telah pun menurunkan lagi harga runcit minyak petrol RON95 sebanyak 10 sen iaitu daripada RM1.85 kepada RM1.75 seliter. Harga diesel juga telah diturunkan sebanyak 25 sen dengan menjadikan harganya sekarang RM1.35 seliter berbanding RM1.60 seliter sebelum ini.

Dengan penurunan harga minyak ini pihak peniaga, pembekal mahupun pemborong tidak sewajarnya menaikkan harga barang ekoran berlakunya pengurangan kos bahan api. Yang patut berlaku ialah penurunan harga barang.

Saya sebenarnya hairan, mengapa ketika harga minyak naik golongan peniaga bersungguh-sungguh mahu harga barangan turut dinaikkan tetapi apabila harga turun mereka diam seribu bahasa.

Sementara itu gesaan Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin supaya kerajaan mewujudkan satu mekanisme penguatkuasaan bagi mengawal harga barangan yang dijual di kedai koperasi dan kantin sekolah juga perlu diberi perhatian.

Berdasarkan pengamatan beliau mendapati harga barangan yang dijual di kedai koperasi sekolah didapati agak tinggi dan sepatutnya dikawal bagi meringankan beban ibu bapa terutama pada awal musim persekolahan.

ABU ALIFF

Selayang, Selangor