Sungguhpun sudah lama isu hantaran perkahwinan terlalu tinggi berlegar, saya tidak menyangka perkara itu diterjemahkan dalam kehidupan sebenar khususnya untuk anak muda zaman sekarang.

Anak gadis berpendidikan diploma (belum lulus) mahu hantaran RM25,000 sedangkan anak saudara saya (graduan diploma) yang baru mula bekerja cuma bergaji RM2,000 sebulan. Ingatkan harga barang sahaja naik, harga hantaran pun sudah melambung.

Hampir seminit terkedu, saya minta pihak perempuan kurangkan jumlah hantaran supaya tidak membebankan pasangan selepas berkahwin kelak tetapi ibu gadis itu berkeras enggan berganjak atas alasan anaknya cantik dan ramai yang berminat.

Ringkaskan cerita, anak saudara saya sudah berkahwin baru-baru ini tetapi dengan gadis pilihan ibunya, seorang guru taska dengan hantaran RM5,000 sahaja. Itu pun pihak lelaki yang ‘memaksa’ sedangkan keluarga perempuan tidak mahu pun wang hantaran.

Ini bukti jodoh di tangan Tuhan. Isteri anak saudara saya lebih cantik daripada yang dahulu. Mereka hidup bahagia dan kini menunggu cahaya mata pertama.

Saya faham hantaran dan bermacam budaya lain dalam perkahwinan menjadi tradisi penting masyarakat Melayu tetapi tidak bermakna kita boleh menyalahgunakan adat resam untuk kepentingan peribadi.

Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. Ibu bapa jangan menyusahkan benda baik dan jangan memudahkan perkara buruk. Marilah kita ubah amalan hantaran tidak masuk akal ini kerana lambat laun akan kembali kepada anak cucu sendiri.

Lagi pun, hantaran tinggi sebenarnya memberi gambaran tidak elok terhadap anak gadis dan keluarganya, bukannya satu simbol status atau boleh dibanggakan.

PAKTAM KONA

Alor Setar, Kedah