Khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan sederhana atau M40 memandangkan kumpulan ini sering terlepas daripada menikmati beberapa keistimewaan dalam beberapa siri bajet sebelum ini.

Hendak dikatakan terlepas 100 peratus tidaklah sampai begitu sekali sebaliknya masih terdapat beberapa inisiatif seperti yang pernah diumumkan dalam Bajet 2017 khusus untuk membantu golongan M40.

Antaranya, pelepasan cukai individu untuk pembelian bahan bacaan, komputer dan peralatan sukan diperluaskan sehingga meliputi pelepasan pembelian akhbar arus perdana, telefon pintar dan tablet, langganan internet serta bayaran keahlian gimnasium.

Pelepasan itu diberikan sehingga RM2,500 setiap tahun, berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2017. Dalam Bajet 2017 kerajaan turut mengumumkan pelepasan cukai baharu sehingga RM1,000 bagi pembelian peralatan penyusuan ibu yang akan diberikan setiap dua tahun sekali.

Ini adalah beberapa contoh pelepasan cukai yang diumumkan oleh kerajaan pada pembentangan bajet yang lalu.

Sungguhpun begitu menurut pandangan saya, jumlah itu belum mencukupi. Saya sengaja menyentuh isu bajet ini adalah kerana rata-rata individu yang tergolong dalam kategori M40 merasakan mereka tidak dapat banyak manfaat berbanding kumpulan B40 setiap kali bajet dibentangkan.

Bagi saya, suara serta keluh-kesah golongan M40 ini perlu diambil kira kerana mereka turut terkesan dengan himpitan hidup yang semakin hebat gara-gara berlakunya kenaikan kos sara hidup dan paling terasa ialah pekerja-pekerja swasta.

Ini kerana sebahagian besar syarikat-syarikat swasta sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengambil langkah berjimat cermat termasuk dalam soal pembayaran gaji, tuntutan kerja lebih masa, tuntutan perbatuan dan perbelanjaan perubatan disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Berbanding penjawat awam, nasib mereka lebih terbela lebih-lebih lagi dalam era pemerintahan Najib. Boleh dikatakan setiap kali pembentangan bajet ada sahaja hadiah yang diberikan kepada kira-kira 1.5 juta kakitangan kerajaan.

Sebagai contoh dalam pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri telah mengumumkan kenaikan satu tangga gaji bagi semua penjawat awam serta gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan. Perlaksanaan kedua-dua berita gembira itu bermula 1 Julai 2016.

Inilah hakikat yang berlaku. Nasib kumpulan M40 tidak sebaik B40 lebih-lebih lagi pekerja swasta. Mereka tidak layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Mereka tidak layak memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR). Mereka juga tidak layak memohon rumah mesra rakyat.

Kalau hendak beli rumah terpaksalah bergolok bergadai kerana harganya yang tidak masuk akal. Hendak beli rumah mampu milik peluangnya tipis kerana jumlahnya begitu terhad.

Ringkasnya, segala kemudahan yang dinikmati oleh B40 seperti yang diumumkan dalam bajet tahunan kerajaan tidak akan dinikmati oleh M40. Sedangkan menurut pemerhati ekonomi, golongan M40 adalah segmen terbesar yang menjana ekonomi negara termasuk sebagai pembayar cukai terbesar.

Bukan bermaksud saya iri hati dengan setiap kemudahan yang diberikan kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 kerana sememangnya golongan tersebut perlu dibantu tetapi nasib golongan M40 jangan dilupakan.

Saya berpandangan jika kerajaan dapat memberi sedikit lagi pelepasan cukai individu, menetapkan kadar harga petrol bawah RM2 seliter, tiada kenaikan tol, harga barangan harian sentiasa terkawal, tiada kenaikan tarif elektrik dan perbanyakkan lagi jumlah rumah mampu milik dalam pengumuman Bajet 2018, itu sudah cukup menggembirakan golongan M40.

Ada juga yang mencadangkan agar susu formula untuk bayi dijadikan barang kawalan memandangkan harganya yang semakin meningkat dari setahun ke setahun. Jika syor ini turut dipertimbangkan alangkah gembiranya ibu bapa yang terlibat.

PEJUANG M40

Kepong, Kuala Lumpur