Walaupun pemilihan cawangan belum dilaksana, sudah ada nama-nama yang dipalu oleh kumpulan masing-masing untuk memastikan calon mereka menjadi ketua bagi merealisasikan hasrat UMNOREBORN.

Masih terdengar lagi bibit-bibit suara radio yang mencadangkan nama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ataupun Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat ) untuk meneraju kepemimpinan UMNO ‘baharu’.

Kita faham matlamat mencadangkan nama Ketua Pemuda UMNO adalah untuk menarik sokongan golongan muda. Namun, tidak dapat mengelak daripada realiti kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 dipimpin seorang warga emas berusia 93 tahun yang bijaksana dalam percaturan sehingga berjaya menarik sokongan jitu daripada pengundi muda itu sendiri.

Saya sebagai anak muda yang teguh menyokong UMNO ketika kalah ingin melihat kebangkitan UMNO dipimpin oleh individu yang jati dirinya kuat, mempunyai ketokohan yang tinggi dan tidak boleh dipersoal tentang integritinya untuk menarik balik kepercayaan rakyat kepada parti keramat ini,

Dengan adanya gabungan otai berbisa bersama jiwa muda sasa seperti Tengku Razaleigh Hamzah yang bertahan 11 penggal dalam peperangan, Mohamad Hasan dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, kita tidak boleh menyangkal ketokohan kepemimpinan mereka,

Bagi pemimpin muda pula dibarisi seperti bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Zohdi yang boleh dianggap mutiara dalam dewan rakyat dengan hujah yang padat, tepat dan mengusik sanubari pihak lawan. Jangan lupa juga kepemimpinan yang berjiwa rakyat dari Pahang, Datuk Seri Norol Azali dan seorang tokoh agama, Datuk Dr. Asyraf Wajdi.

Tiga otai berbisa bersama tiga jiwa muda sasa ini sekiranya bergabung berjaya diangkat sebagai frontline dalam UMNO ‘baharu’, Saya percaya kebangkitan dapat dirasai dari segenap lapisan masyarakat. Kita inginkan kepemimpinan yang mempunyai jati diri perjuangan yang kuat untuk membela agama keturunan Melayu dan tanah air yang berbilang bangsa.

Kekalahan ini adalah satu modul baharu untuk ahli terus mengkaji gerak tari dan pelajari segala kesilapan lampau.

Insya-Allah kita bangkit daripada kekalahan untuk kesejahteraan parti dan terus berkhidmat kepada rakyat dan negara pada masa akan datang.

AKMAL HASHIM

Aktivist Youth Nation