Difahamkan majlis perasmian yang dijadualkan di Sungai Rambai itu telah diubah ke Tehel pada tarikh dan waktu yang sama. Perubahan jadual itu mengecewakan penduduk Sungai Rambai yang teruja menanti kedatangan pemimpin nombor satu itu untuk menjejakkan kaki buat pertama kali di daerah berkenaan.

Hairan juga kenapa di saat-saat akhir majlis yang sudah diatur lama itu terpaksa ditunda.

Saya yakin Perdana Menteri pasti gembira dapat datang ke Sungai Rambai kerana kami masih terharu dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang mencemar duli berangkat merasmikan Pejabat Mahkamah Rendah Syariah daerah Jasin di Kompleks Kota Al-Hasanah, Sungai Rambai, 4 Mac lalu.

Mahkamah Rendah Syariah Jasin terletak bersebelahan Masjid Al-Hasanah mula beroperasi sepenuhnya Mei 2015.

Kehadiran Najib di Sungai Rambai sememangnya dinantikan oleh penduduk dan sangat signifikan bagi mengenang kembali bapa Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak yang pernah menjejakkan kaki ke Sungai Rambai pada 1972.

Sehubungan itu, saya bagi mewakili penduduk di Sungai Rambai amat berharap Perdana Menteri dapat datang ke sini nanti.

PENDUDUK MENGHARAP

Sg. Rambai