Bukan sahaja kerana boleh menjejaskan reputasi kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) yang ketika ini diperhatikan oleh rakyat terutama sekali daripada kalangan pengundi Melayu sendiri. Selepas ini apa lagi mahu dituntut DAP?

DAP tidak boleh keterlaluan apabila membuat tuntutan yang kadangkala nampak seperti cuba mendesak dengan alasan untuk menunaikan janji-janji manifesto parti itu kepada orang Cina sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kini bukan sahaja UMNO tetapi suara-suara di dalam PH sendiri sudah mula meluahkan rasa tidak senang dengan isu terkini DAP dan antara paling hangat diperkatakan tentang desakan mahu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Semua kertas peperiksaan UEC menggunakan bahasa Mandarin dan mata pelajaran bahasa Melayu pula adalah lebih rendah atau tidak setara dengan mata pelajaran bahasa Melayu di dalam SPM.

Janganlah dibangkitkan isu yang bertentangan dengan perpaduan dan pegangan prinsip Rukun Negara yang menjadi panduan dan akuan kita untuk kesetiaan kepada negara yang tercinta ini.

Banyak lagi isu-isu lebih memanfaatkan rakyat perlu diselesaikan seperti harga barang dan janji-janji untuk menurunkan harga minyak dan tol serta kebajikan membantu rakyat yang kini menghadapi tekanan hidup.

Itu harapan rakyat selama ini yang mahukan kerajaan telus membantu mereka di samping membanteras segala penyelewengan terutama sekali gejala rasuah.

Kalau boleh tangguhkan dulu apa juga projek-projek mega yang melibatkan kewangan yang banyak dan tidak terlalu membebankan negara kerana keperluan-keperluan itu tidaklah mendesak.

Semua itu boleh dilaksanakan semula apabila ekonomi kita kembali pulih sepenuhnya kelak. Kini, apa yang perlu adalah membina dan membela rakyat supaya dapat hidup sempurna dan bertamadun.

DAP juga diingatkan supaya pandai menyesuaikan diri, jangan ingat dengan membuat pelbagai desakan tidak akan menjejaskan kekuatan parti kerana undi adalah di tangan rakyat dan boleh bertukar pada bila-bila masa.

Senario politik juga boleh berubah mengikut rentak demi survival sesebuah kerajaan dan perlu mengambil kira undi kaum majoriti. Kalau mahu pastikan kerajaan baharu ini kekal dalam PRU akan datang, kesefahaman di antara parti dan patuh dengan pucuk pimpinan adalah kunci utama.

SYED ABDULLAH OSMAN

Negeri Sembilan