JENAYAH rompak, ragut dan curi dilakukan dengan pelbagai cara, dan topi keledar bertutup muka penuh antara tools yang kian popular dalam kalangan penjenayah ketika ini. Masakan tidak, penggunaan topi keledar itu mampu ‘menyelamatkan’ penjenayah daripada dikenal pasti identiti mereka semasa proses pengecaman suspek oleh orang awam.

Justeru tidak hairan mengapa penggunaan topi keledar bertutup muka penuh semakin menjadi pilihan penjenayah. Baru-baru ini, dua penjenayah dipercayai lelaki merompak sebuah restoran makanan segera di Nilai, Negeri Sembilan menggunakan topi keledar bertutup penuh dan pisau pemotong daging.

Dalam kejadian lain di Kuala Selangor pula, dua mesin pengeluaran wang tunai automatik (ATM) telah dilarikan sekumpulan penjenayah menggunakan sebuah jengkaut di Bestari Jaya. Dilaporkan mereka turut memakai topi keledar bertutup muka penuh.

Dua tahun lepas, dua biarawati telah diserang tanpa belas kasihan oleh seorang penjenayah menggunakan topi keledar bertutup muka penuh di pekarangan Gereja Visitation, Seremban, Negeri Sembilan. Salah seorang mangsa meninggal dunia di Hospital Seremban setelah dilaporkan koma selepas kejadian.

Pada hemat saya, pengharaman penggunaan topi keledar bertutup penuh harus dilakukan dan langkah sama juga dikenakan terhadap penjualannya kepada orang ramai di negara ini. Mungkin sebahagian daripada masyarakat kita boleh menyangkal bahawa langkah pengharaman itu dapat menyelesaikan kejadian jenayah yang semakin meningkat.

Bagi saya, setidak-tidaknya langkah dianggap renyah dan kecil itu dapat dijadikan permulaan awal bagi menangani kes-kes jenayah di negara ini. Masakan kita sanggup membiarkan penjenayah berleluasa meragut, mencuri, merompak dan menyamun terlepas begitu sahaja.

Masyarakat harus melihat langkah pengharaman itu dari sudut positif iaitu dapat menjaga kepentingan bersama.

Janganlah terlalu yakin dan beranggapan jenayah tidak akan berlaku kepada diri sendiri mahupun orang yang disayangi. Hakikatnya, semua orang terdedah kepada jenayah, hanya jika tiada langkah-langkah pencegahan dilakukan.

Jenayah semakin meningkat berikutan kegawatan ekonomi yang menekan orang ramai, justeru semua pihak perlu berganding bahu menjaga keselamatan diri, masyarakat dan negara. Langkah-langkah keselamatan harus bermula sejurus keluar dari rumah, dan paling penting elakkan diri kita daripada menjadi tarikan penjenayah.

SELVARANI P. KOVIL PILLAI

Pensyarah Program Komunikasi USIM