Hari sebelumnya, rintihan juga telah disuarakan oleh pembaca dikenali dengan nama ANAK MAT ZAIN tentang banyaknya ‘harta-benda’ di lebuh raya PLUS. Saya sebenarnya amat sedih kerana disebabkan kecuaian yang berlaku (gagal membersihkan serpihan tayar dengan segera) hilang satu nyawa.

Mungkin mangsa yang maut ini adalah bapa kepada anak-anak, suami kepada isteri dan datuk kepada beberapa orang cucu. Kita juga tidak tahu latar belakang mangsa. Mungkin juga mangsa adalah tonggak keluarga dan kehilangannya sudah pasti memberi kesan mendalam kepada isteri dan anak-anak.

Bagi saya kemalangan ini boleh dielakkan jika pihak berkenaan mengambil langkah segera dengan membersihkan lebuh raya daripada serpihan tayar lori celup secepat mungkin. Dalam hal ini PLUSRonda perlu bertindak lebih proaktif.

Ini bukannya kejadian kali pertama dan saya percaya kemalangan serupa pernah berlaku sebelum ini. Ada yang maut dan ada mengalami kecederaan. Yang pasti kita tidak pernah belajar daripada kesilapan. Malah seorang sahabat pernah mengalami kejadian sama tetapi syukur pada Allah kerana ketika itu dia sedang memandu kereta.

Ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Seremban dari pejabatnya di Kuala Lumpur. Kejadian berlaku ketika waktu malam berhampiran dengan Hentian Rawat dan Rehat (R&R). Setiba tempat kejadian tidak semena-mena dia terlihat serpihan tayar celup yang amat besar.

Dia tiada pilihan lain melainkan terpaksa melanggar objek tersebut dan akibat keretanya mengalami kerosakan di bahagian bumper dan lampu. Bayangkan jika motosikal yang melanggar objek berkenaan. Sudah pasti penunggang terbabit akan mengalami kecederaan parah dan mungkin juga boleh membawa maut.

Saya sebenarnya amat bersetuju dengan ANAK MAT ZAIN yang mahu objek-objek yang tidak berkenaan segera dibersihkan daripada lebuh raya itu. Bagi saya ini lebih kepada soal keselamatan yang perlu sentiasa dititik berat terutama oleh konsesi lebuh raya terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, saya mahu kerajaan mengharamkan penggunaan tayar celup serta merta. Saya percaya melalui langkah tersebut kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal khususnya di lebuh raya dapat dikurangkan.

Keprihatinan kerajaan dalam hal ini amatlah diharapkan. Ini belum lagi saya sentuh secara terperinci mengenai lori yang membawa lebih muatan dan batu di lebuh raya. Saya yakin kebanyakan pengguna lebuh raya pernah melalui pengalaman mengekori kenderaan berat yang seperti ini.

Tiba-tiba sahaja batu yang dibawa oleh lori berkenaan melayang dan kemudian terkena cermin kereta. Bukankah ini boleh membahayakan pemandu kereta terbabit?

Oleh itu, saya amat mengharapkan pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) termasuk konsesi lebuh raya mengambil tindakan sewajarnya terhadap lori-lori seumpama itu demi keselamatan setiap pengguna.

Kenderaan berat yang bergerak perlahan (kurang 70-80 kilometer/jam) di lebuh raya juga seharusnya diharamkan kerana boleh mengundang kepada kemalangan terutama di waktu malam. Kita telah saksikan episod-episod duka yang melibatkan rempuhan dari belakang. Cukuplah apa yang telah berlaku. Dalam perkara ini kita seharusnya mengambil pengajaran, terus bergerak ke hadapan serta sentiasa memperbaiki keadaan.

PENGGUNA LEBUH RAYA

Pulau Pinang