Baru-baru ini, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto mereka untuk menolak draf resolusi PBB bagi membatalkan keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Dengan begitu banyak konflik kemanusiaan berpanjangan yang tidak dapat diselesaikan PBB seperti di Syria, Palestin, Myanmar dan lain-lain, banyak pihak kini menganggap PBB tidak mampu memainkan peranannya sejak ditubuhkan pada 1945.

Pada asalnya, PBB dianggotai 51 buah negara dan kini sudah mempunyai 193 buah negara anggota.

Penubuhan PBB adalah berdasarkan matlamat bagi menjalin hubungan kerjasama sesama negara dunia serta mengekalkan suasana aman dan harmoni.

Namun, matlamat ini tidak membawa apa–apa makna sekiranya PBB gagal melaksanakan beberapa perubahan dalaman bagi memastikan pertubuhan itu kekal relevan serta efektif di mata dunia.

Antara faktor utama yang menyebabkan PBB gagal berfungsi dengan baik adalah dominasi kuasa–kuasa besar dunia seperti AS, Rusia, Britain, Perancis dan China.

Bukan sahaja didominasi kelima–lima kuasa dunia berkenaan, PBB turut memberi mereka kuasa yang boleh menentukan arah tuju perjalanan pertubuhan itu sendiri.

Antara kuasa yang diberikan kepada kelima-lima negara ini ialah kuasa veto. Mereka boleh menggunakan kuasa veto bagi menghalang sebarang cadangan atau draf resolusi yang dikemukakan melalui Majlis Keselamatan pertubuhan berkenaan.

Kuasa veto yang diberikan kepada kelima–lima buah negara berkenaan sering disalah guna mengikut kepentingan politik masing-masing.

Antara yang teruk menerima impak akibat daripada salah guna kuasa veto tersebut ialah masyarakat Palestin yang menghadapi kezaliman rejim Israel sejak penubuhan negara haram Israel pada 1948.

Banyak resolusi telah dikeluarkan PBB menentang Israel telah diveto sekutu kuatnya, AS. Akibatnya, rejim Israel tanpa rasa takut serta bersalah masih melakukan kekejaman terhadap masyarakat Palestin.

Impak buruk kuasa veto ini turut terkena kepada Malaysia pada 2015 apabila Rusia menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan PBB bagi menghalang cadangan menubuhkan sebuah tribunal jenayah antarabangsa bagi menyiasat dan membicarakan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Wilayah Timur Ukraine pada 2014, mengorbankan 298 nyawa termasuk 43 orang warga Malaysia.

Penggunaan kuasa veto yang dimiliki oleh kelima-lima negara terbabit telah banyak mengundang perasaan tidak puas hati negara–negara anggota PBB sendiri.

Malah, kuasa veto turut menyebabkan PBB menjadi sebuah agensi yang tidak membawa apa–apa makna di mata dunia dalam melindungi serta mempertahankan hak asasi manusia.

Oleh itu, sudah sampai masanya PBB mengambil langkah berani bagi memastikan ia kekal relevan serta bebas menjalankan tugasnya tanpa gangguan serta pengaruh daripada mana–mana pihak.

Kuasa veto yang diberikan kepada kelima–lima negara berkenaan perlu ditarik balik. PBB juga perlu melihat kembali kepada piagamnya supaya tiada lagi peruntukan khas diberikan kepada mana–mana negara anggota sehingga wujudnya ketidakadilan terhadap negara anggota lain dalam PBB itu sendiri.

Sudah sampai masanya semua negara anggota PBB dilayan dengan adil tanpa sebarang keistimewaan diberikan kepada mana–mana negara tertentu.

Sekiranya tiada langkah berani diambil bagi melaksanakan pembaharuan terhadap PBB, sudah pasti pertubuhan itu akan rebah seperti yang telah berlaku terhadap pertubuhan antarabangsa terdahulu iaitu Liga Bangsa-Bangsa (League of Nations) lebih 72 tahun lalu.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia