Tidak cukup dengan ribuan penipu profesional warga tempatan, penipu warga asing pun masih boleh tumpang sekaki menyembelih rakyat negara ini sejak sekian lama.

Berhubung dengan isu ini saya pernah terbaca tentang cadangan polis untuk menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) ke atas anggota sindiket African Scam tegar kerana ada dalam kalangan mereka yang kembali menjalankan aktiviti penipuan tersebut selepas didenda atau dihukum penjara.

Saya sokong jika POCA digunakan sepenuhnya malah mana-mana akta lain yang mampu mencegah aktiviti penipuan warga asing ini perlu dikuatkuasakan sebaik mungkin bagi mencegah rakyat Malaysia khususnya golongan wanita kesunyian daripada terus dikikis.

Dengan bermodalkan gambar dan latar belakang palsu, begitu mudah wanita kesunyian memberikan apa sahaja diminta walaupun tidak pernah berjumpa.

Bukan sahaja dengan rela menyerahkan setiap ringgit simpanan mereka bagi memenuhi permintaan dan rayuan ‘jejaka tampan’ idaman hati, ada juga wanita tempatan terperangkap susulan menghantar gambar lucah seterusnya diperas ugut.

Saya amat berharap pihak berkuasa bukan sekadar menangkap mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah ini tetapi turut mencari kaedah terbaik mencegah aktiviti jahat itu daripada berterusan dan berleluasa.

ADIK MANJA

Taman Sri Andalas, Selangor